Berita Sukan
Afiq Fazail dinobatkan MVP Liga M, Faisal Halim akhiri penantian tiga musim
KUALA LUMPUR 13 OGOS — Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail, melakar kejutan apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Majlis Liga M Awards 2025-2026 yang berlangsung di Angkasapuri, semalam.
Pengiktirafan berprestij itu sekali gus menamatkan dominasi rakan sepasukannya, Arif Aiman Hanapi, yang memenangi trofi berkenaan selama empat edisi berturut-turut.
Selain meraih gelaran MVP, pemain berusia 32 tahun itu turut diumumkan sebagai Pemain Tengah Terbaik, sekali gus mencatatkan kemenangan ketiganya bagi kategori berkenaan selepas edisi 2022 dan 2023.
Afiq menyifatkan anugerah itu sebagai rezeki buat isteri serta anak-anaknya selain menzahirkan rasa terkejut dan merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan rakan sepasukan.
Sementara itu, penyerang Selangor FC, Faisal Halim, akhirnya menamatkan penantian tiga musim apabila diangkat sebagai Penyerang Terbaik.
Kejayaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu terasa lebih bermakna memandangkan beliau baharu sahaja bangkit daripada insiden serangan asid pada tahun 2024 yang hampir menjejaskan karier bola sepaknya.
Faisal mengakui anugerah berkenaan memberikan dorongan dan semangat baharu buat dirinya selepas melalui proses pemulihan yang mencabar serta jadual perlawanan yang padat sepanjang musim lalu.
Pengiktirafan itu diharap menjadi pemangkin motivasi untuk beliau beraksi lebih baik pada musim hadapan.
Kemenangan Afiq turut melengkapkan penguasaan menyeluruh JDT yang berjaya memboyong tujuh anugerah utama.
Antara yang mencipta nama ialah Ahmad Syihan Hazmi yang memenangi Penjaga Gol Terbaik buat kali keempat berturut-turut, Bergson Da Silva sebagai Pemain Import Terbaik, serta kendalian Xisco Munoz yang dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik selepas membimbing Harimau Selatan melengkapkan kejuaraan kuadrupel menerusi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Dominasi JDT diteruskan lagi apabila dinamakan sebagai Pasukan Terbaik, manakala kumpulan Boys Of Straits diangkat sebagai Penyokong Terbaik.
Bagi kategori lain, Safawi Rasid mengungguli Kasut Emas Liga Super Tempatan, Haziq Kutty Abba dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik, dan Melaka FC membawa pulang Anugerah Fair Play.
Penganjuran edisi sulung Liga M Awards selepas proses penjenamaan semula ini menyaksikan 15 kategori dipertandingkan, berbanding 17 kategori pada edisi terdahulu.
Berita berkaitan
August 10, 2026, 11:31 am
Pengendali JDT dedah rahsia ikat Chelsea 3-3
August 9, 2026, 9:00 am
Bapa Lionel Messi, Jorge Horacio Messi meninggal dunia pada usia 68 tahun
August 9, 2026, 8:50 am
"Ujian getir menanti" — Cheng Hoe gesa fokus pemulihan pantas sebelum tentang Vietnam
July 29, 2026, 11:20 am
Selangor pesta gol benam Ratchaburi
July 29, 2026, 10:17 am
Jaringan roket 'debut' Wan Kuzain bawa Malaysia ungguli Kumpulan B
July 27, 2026, 7:26 pm
Mohamad Aniq dapat habuan kerajaan Johor susulan emas Sukan Komanwel
July 26, 2026, 8:18 pm
