Berita Sukan
Piala FA: JDT ledak 10 gol tendang UM-Damansara keluar saingan
JOHOR BAHRU 9 SEPTEMBER – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah bergaya ke suku akhir Piala FA selepas membelasah UM-Damansara United 10-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini semalam.
Kemenangan besar itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mara dengan agregat 14-1, sekali gus membuktikan jurang ketara antara kedua-dua pasukan dalam saingan tersebut.
JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila tandukan Eddy Israfilov hasil hantaran lintang Manuel Hidalgo dari sebelah kiri gagal diselamatkan penjaga gol UM-Damansara, Azfar Arif Mohd. Sukri pada minit kelima.
Stoichkov kemudian menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-22 menerusi rembatan rendah selepas menerima umpanan Stuart Wilkin sebelum Wilkin sendiri mencetak gol ketiga JDT 10 minit kemudian menerusi rembatan deras yang melencong ke penjuru gawang.
Memasuki babak kedua, JDT terus mengganas dan Stoichkov meledak gol keduanya pada minit ke-48 selepas menyambar bola dari jarak dekat, sebelum pemain muda Daniesh Amirruddin turut mencipta jaringan pada minit ke-57.
Wilkin kemudian melengkapkan gol keduanya pada minit ke-75 menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti, manakala Shahab Zahedi menambah satu lagi gol dua minit kemudian dengan rembatan kencang dari jarak kira-kira 30 meter.
Israfilov turut mencetak gol keduanya pada minit ke-80 menerusi rembatan jarak jauh, sebelum Daniesh sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-86 selepas menanduk masuk hantaran lintang Hidalgo.
Zahedi melengkapkan pesta gol JDT pada minit ke-90 apabila menanduk masuk bola untuk gol ke-10 tuan rumah, sekali gus memastikan UM-Damansara pulang dengan kekalahan besar.
Kemenangan itu membolehkan JDT meneruskan misi mempertahankan trofi Piala FA dan mereka kini menanti pemenang antara Penang FC atau Melaka FC pada pusingan suku akhir.
Berita berkaitan
September 9, 2026, 12:27 pm
Basikal atlet 'ironman' Malaysia hilang, kali terakhir nampak di KLIA
September 9, 2026, 10:14 am
Piala FA: Bumi Perlis saksi Star City mara ke suku akhir
September 9, 2026, 10:11 am
Piala FA: Gol jarak jauh bantu Kelantan City singkir Negeri Sembilan di Paroi
September 9, 2026, 9:57 am
Piala FA: Kuching City belasah KRW, mara ke suku akhir
September 7, 2026, 11:25 am
Selangor bangkit kutip 3 mata ke atas Melaka sebelum wisel penamat ditiupkan
September 7, 2026, 9:49 am
Tunku Mahkota Ismail dinobat Pemain Terbaik JSCPT 2026
September 6, 2026, 9:42 am
Kuching City leburkan rekod tanpa kalah Sabah
September 6, 2026, 9:36 am
Terengganu, Penang buntu tanpa gol, kebangkitan dramatik Akhyar selamatkan Negeri Sembilan
September 5, 2026, 7:47 am
