TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ada benda DAP tak puas hati...' - Kian Ming dedah punca sebenar keluar DAP

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Sept  – Ramalan Pakatan Harapan (PH) bakal mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi antara titik awal ketegangan antara bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dengan DAP sehingga membawa kepada keputusannya meninggalkan parti itu.

Ong berkata, ketegangan tersebut tercetus selepas ramalan berkenaan yang dibuat ketika sesi taklimat tertutup bersama pengamal media tersebar kepada umum selepas seorang pempengaruh memperoleh salinan pembentangannya.

Bercakap dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap, beliau berkata, ramalan itu bukan bertujuan menjatuhkan PH atau memburukkan DAP.

“Ini bukan sesuatu yang saya nak buat untuk menjatuhkan PH ataupun nak memburukkan parti DAP,” katanya.

Ong berkata, beliau turut membuat ramalan sama menjelang PRN Negeri Sembilan, termasuk kemungkinan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Ramalan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Loke tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi.

“Saya beri sebab kenapa…bukan kerana dia (Loke) tidak berkhidmat dengan baik, tetapi angin yang bertiup itu sungguh kuat,” katanya sambil menyifatkan wujud penolakan kuat terhadap PH selain naratif penyatuan ummah.

Bagaimanapun, Ong berkata, tiada pemimpin DAP yang menghubunginya untuk mempersoalkan ramalan itu atau mendapatkan penjelasan mengenai bagaimana analisis berkenaan boleh membantu parti membuat persiapan menghadapi PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Jadi, saya rasa itu juga adalah satu isyarat bagi saya bahawa mereka tidak senang terhadap saya, tetapi pada masa sama mereka juga rasa bahawa tidak ada keperluan untuk berhubung dengan saya,” katanya.

Ong meletakkan jawatan daripada DAP pada 31 Ogos lalu, namun menolak kemungkinan menyertai parti lain atau bertanding pada PRU16.

Sebaliknya, beliau berkata akan berkempen untuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekiranya tokoh berkenaan dicalonkan.

Ong menyertai DAP pada 2012 dan pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah pendidikan politik parti itu.

Beliau turut pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020.

Menurut Ong, dalam tempoh dua minggu selepas beliau memaklumkan hasrat untuk meninggalkan DAP, tiada sesiapa termasuk Loke menghubunginya bagi memujuk supaya kekal dalam parti.

Katanya, peminggiran yang dirasainya dalam DAP berlaku secara beransur-ansur dan bukan secara tiba-tiba.

Beliau berkata, kekalahannya dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 2022 menjadi satu isyarat bahawa golongan profesional seperti dirinya dan bekas pemimpin DAP, Tony Pua, sudah ‘tidak lagi dialu-alukan’ dalam parti itu.

Pua sebelum itu tewas dalam pemilihan peringkat negeri Selangor dan tidak tersenarai dalam jawatankuasa negeri, sebelum beliau dan Ong tersingkir dalam pemilihan CEC.

Ong berkata, beliau sebenarnya sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRU15 sebelum gagal dalam pemilihan CEC berkenaan.

“Saya juga berani pada masa itu untuk memberi nasihat ataupun cadangan kepada pada masa itu…masih lagi setiausaha agung DAP iaitu Lim Guan Eng supaya beliau tidak mengambil jawatan pengerusi dalam DAP dan saya rasa ia permulaan pengakhiran saya dalam DAP,” katanya.

Beliau berkata, dirinya juga sudah mengenal pasti Syahredzan Johan sebagai individu yang mampu menggantikan tempatnya sebagai Ahli Parlimen Bangi.

Bagaimanapun, Ong masih berharap dapat memainkan peranan dalam DAP selepas PRU15, khususnya dalam isu berkaitan dasar.

“Tetapi itu adalah sesuatu yang mungkin parti DAP dan pemimpin mereka rasa mereka lebih cerdik lebih berpengetahuan berbanding dengan saya. So ‘it’s okay’ with me’ kerana saya pun ada peranan dan tanggungjawab di gelanggang yang lain,” katanya.

+ - reset