TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘PH sendiri yang buat UMNO pilih kuasa atau prinsip’ – Akmal Saleh

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Sept – UMNO didakwa terdorong meneroka kerjasama dengan PAS selepas Pakatan Harapan (PH) berterusan meletakkan parti itu dalam keadaan terpaksa memilih antara mempertahankan kuasa atau berpegang kepada prinsip.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, UMNO sudah terlalu banyak melalui ujian sepanjang bekerjasama dengan PH sehingga persoalan mengenai kecenderungan parti itu untuk mendekati PAS sepatutnya ditujukan kepada PH.

“Kita sudah terlalu banyak diuji oleh PH. Sebab itu, bila orang tanya kenapa Umno beralih (kerjasama) kepada PAS, jangan tanya Umno.

“Tanya PH kenapa mereka buat Umno pilih antara kuasa dengan prinsip,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menurut Akmal, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO-Barisan Nasional (BN) pada awalnya bersedia untuk kekal sebagai pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, UMNO-BN bersetuju membentuk kerajaan selepas mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong.

Akmal turut mempersoalkan sama ada PH menunjukkan tahap penghormatan yang sama terhadap pandangan institusi istana.

Beliau mengaitkan persoalan itu dengan kontroversi berkaitan penternakan babi di Selangor.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak boleh bergantung kepada Perikatan Nasional (PN), PAS mahupun PH untuk memastikan kelangsungan UMNO.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, UMNO perlu memperkukuhkan kekuatan sendiri dan menggunakan strategi parti bagi memastikan kelangsungannya.

+ - reset