TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Tak berhenti walau dah tercicir, atlet wanita buang air besar dalam seluar masa Hyrox

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 SEPTEMBER - Seorang atlet wanita mencetuskan kontroversi selepas dipercayai mengalami masalah membuang air besar ketika menyertai acara Hyrox di Beijing, China.

Lebih mengejutkan ramai, atlet berkenaan tetap meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat meskipun berdepan situasi memalukan itu.

Gambar dan video tular di media sosial China semalam menunjukkan peserta itu tetap meneruskan beberapa cabaran termasuk burpee lompat jauh dengan kesan najis kelihatan pada kakinya.

Malah, kesan sama dipercayai turut terkena pada beberapa bahagian laluan pertandingan.

Menurut laporan media, wanita itu dikenali sebagai Joanna Wietrzyk yang bertanding dalam kategori Pro Women.

Bukan sekadar berjaya menamatkan perlumbaan, Joanna turut muncul sebagai pemenang dalam kategorinya.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang reaksi bercampur-campur dalam kalangan orang ramai

Sebahagian memuji semangat juangnya kerana tetap bertahan sehingga tamat dalam pertandingan yang menguji ketahanan fizikal.

Namun, ramai mempertikaikan tindakannya kerana peserta lain turut menggunakan laluan dan peralatan sama selepas itu.

Mereka turut bimbang mengenai kesan najis yang terdapat pada laluan larian, alas kereta luncur dan beberapa permukaan lain.

Ada yang berpandangan seseorang atlet sepatutnya menarik diri sekiranya mengalami masalah kesihatan sehingga boleh menjejaskan kebersihan dan peserta lain.

Dalam masa sama, penganjur Hyrox turut menjadi sasaran kritikan apabila orang ramai mempersoalkan bagaimana atlet itu masih dibenarkan meneruskan perlumbaan.

Mereka turut membandingkan situasi itu dengan peraturan pertandingan yang mengenakan penalti terhadap beberapa perbuatan termasuk meludah.

Susulan kejadian, Hyrox China menerusi kenyataan di Weibo memaklumkan kawasan dan laluan terjejas segera ditutup serta diasingkan.

Penganjur berkata, proses pembersihan dan pembasmian kuman dilakukan sehingga perlumbaan pada hari itu selesai.

Peralatan yang terjejas turut dikeluarkan manakala sisa dilupuskan mengikut peraturan pengurusan sisa tempatan.

Selain itu, permaidani di lokasi berkenaan akan diganti sebelum proses pembersihan serta pembasmian kuman secara menyeluruh dilakukan di seluruh venue.

Menurut penganjur, langkah berkenaan diambil bagi memperkukuhkan tahap kebersihan dan memastikan semua peserta dapat bertanding dalam persekitaran selamat.

+ - reset