Berita Berita
'20 hari bukan jawapan’ - Keluarga 55 rakyat Malaysia hilang di Nepal tuntut penjelasan
KUALA LUMPUR 14 Sept – “20 hari bukan jawapan.”
Itu ketegasan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum diketahui nasib mereka susulan bencana di Nepal ketika menuntut penjelasan mengenai masa dan strategi penugasan Pasukan Bantuan dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam operasi mencari mangsa.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), Dr Manivannan Rethinam berkata, persoalan dibangkitkan keluarga bukan mengenai profesionalisme anggota SMART, sebaliknya sama ada operasi itu dilaksanakan pada masa tepat, berdasarkan keutamaan yang betul serta mencapai hasil seperti diharapkan.
"SMART berlepas dari Malaysia pada 5 September, iaitu hari ke-11 selepas rakyat Malaysia berkenaan dilaporkan hilang, manakala pergerakan pertama pasukan itu ke kawasan terjejas yang dilaporkan kepada umum adalah pada 8 September, apabila ia tiba di Dhunche dan menubuhkan pangkalan operasi hadapan taktikal.
"Tiga kawasan keutamaan yang dikenal pasti keluarga berdasarkan gambar, video, masa, rekod komunikasi serta maklumat berkaitan Sistem Penentududukan Global (GPS) tidak kelihatan seperti sudah diperiksa," katanya.
Sehubungan itu, Manivannan menggesa pihak berkuasa menggabungkan semua maklumat yang diberikan keluarga ke dalam satu gambaran operasi menyeluruh.
Mereka juga mahu seorang atau dua wakil keluarga dibenarkan menyertai mekanisme penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Keputusan 'tiada kesan ditemui' perlu menjadi pencetus kepada pemeriksaan lanjut, termasuk laluan pemindahan, lintasan sempadan, rekod pengangkutan dan imigresen, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), data telekomunikasi, hospital, tempat perlindungan serta mayat yang belum dikenal pasti.
"Pihak berkuasa juga perlu menjelaskan laporan bahawa pihak berkuasa China mengesahkan tiga rakyat Malaysia sudah melintasi pemeriksaan imigresen Tibet kira-kira pada hari kesembilan selepas kejadian," katanya.
Menurutnya, keluarga mahu identiti tiga rakyat Malaysia berkenaan didedahkan, termasuk tarikh dan masa mereka melintasi sempadan serta lokasi terakhir mereka yang disahkan.
Mereka turut mahukan penjelasan sama ada maklumat mengenai tiga individu itu sudah dipadankan dengan senarai 55 rakyat Malaysia yang masih hilang.
Pada masa sama, keluarga terbabit menggesa semakan objektif dilakukan terhadap tempoh kritikal 48 hingga 72 jam pertama selepas kejadian bagi menentukan sama ada semua saluran diplomatik dan politik yang munasabah sudah digunakan seawal mungkin.
Manivannan berkata, semakan itu perlu meneliti kemungkinan berlaku kelewatan atau peluang yang terlepas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keluarga tidak menuduh wujud sebarang salah laku yang disengajakan dalam pengendalian operasi tersebut.
Beliau turut mengkritik proses penyampaian maklumat kepada keluarga dengan mendakwa beberapa perkembangan penting, termasuk kepulangan SMART, terlebih dahulu dilaporkan media sebelum mereka dimaklumkan menerusi saluran rasmi Wisma Putra.
Dalam pada itu, keluarga terbabit mengulangi permintaan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka juga menggesa satu mekanisme penyelarasan diwujudkan bagi membantu keluarga dalam urusan kewangan, perundangan, insurans, pekerjaan dan hartanah.
"20 hari bukan jawapan," kata Manivannan sambil menegaskan bahawa keluarga mahukan ketelusan, penyelarasan serta semua saluran yang munasabah diteruskan bagi mengetahui apa yang berlaku kepada insan tersayang mereka.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 9:54 pm
JPJ buka bidaan nombor plat ‘H’, siri huruf solo terakhir di Malaysia
September 14, 2026, 8:39 pm
PAU 2026 hantar isyarat UMNO sedia hadapi PRU-16 tanpa kerjasama Pakatan Harapan
September 14, 2026, 8:33 pm
Pemandu lori maut dihempap runtuhan batu kuari di Keramat Pulai
September 14, 2026, 6:36 pm
Isu jenaka agama: Dr Akmal desak jurucakap UMNO Selangor mohon maaf
September 14, 2026, 6:18 pm
JPN Pulau Pinang siasat guru didakwa pukul murid SJKC hingga lebam
September 14, 2026, 5:23 pm
Guru Penolong Kanan sekolah maut, kereta dipandu rempuh tujuh kenderaan dekat Jalan Kolam
September 14, 2026, 5:18 pm
Ketua UMNO Sepang sedia mohon maaf susulan isu jenaka paderi di PAU 2026
September 14, 2026, 2:09 pm
