Berita Berita
Skizofrenia serius ketika kejadian, pelajar dibebaskan pertuduhan bunuh rakan sekolah dalam tandas perempuan
SHAH ALAM 14 Sept – Pelajar lelaki yang dituduh membunuh rakan sekolahnya di dalam tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati dia tidak waras ketika kejadian.
Bagaimanapun, pelajar berkenaan diperintahkan menjalani rawatan psikiatri susulan keputusan akhir kes pembelaan yang diputuskan Hakim Adlin Abd Majid, hari ini.
Peguam mewakili tertuduh, Kitson Fong berkata, mahkamah mendapati anak guamnya tidak waras ketika kejadian seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan kerana mengalami skizofrenia.
“Hakim dalam alasan penghakimannya membentangkan alasan-alasan bagi setiap aspek sejak dari peringkat pendakwaan hinggalah dipanggil untuk bela diri.
“Terdapat ketidakwarasan perubatan (medical insanity), justeru ketidakwarasan perundangan (legal insanity) juga berjaya (dibuktikan),” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding.
Prosiding kes berkenaan dijalankan secara tertutup mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada peringkat pembelaan, dua saksi dipanggil termasuk Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr Ian Lloyd Anthony.
Menurut Kitson, masalah psikologi yang dialami pelajar berkenaan disahkan pakar psikiatri menerusi laporan bertulis selain dinyatakan kepada mahkamah ketika memberi keterangan dan soal balas.
“Dia memang disahkan ada skizofrenia yang bebentuk sangat serius dan agresif pada masa itu (sehingga) tertuduh ingat dia bukan diri sendiri dan mendengar suara (untuk melakukan pembunuhan). Itu tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kitson memaklumkan pelajar terbabit dijangka menjalani rawatan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta sebelum sebarang keputusan mengenai pembebasannya ditentukan dengan perkenan Sultan Selangor seperti diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Bagaimanapun, pihak keluarga berharap anak mereka dapat menjalani pembelajaran atau persekolahan ketika sedang menerima rawatan kerana pelajar berkenaan dijangka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi.
“Jadi, keluarga berharap dapat memberikan buku-buku dan sebagainya dengan harapan dia boleh bersekolah seperti ‘homeschool’ dan seterusnya diberi pengampunan,” tambahnya.
Tertuduh diwakili Fong, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Pada 13 Ogos lalu, mahkamah memerintahkan pelajar lelaki itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan selepas 11 saksi dipanggil memberi keterangan.
Sebelum itu, pelajar terbabit mengaku tidak bersalah pada Februari lalu atas dakwaan membunuh rakan sekolahnya yang berusia 16 tahun di tandas perempuan SMK Bandar Utama Damansara 4, Bandar Utama, Petaling Jaya antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, kanak-kanak tidak boleh dikenakan hukuman mati seperti diperuntukkan Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Seksyen 97(2) akta sama pula memperuntukkan kanak-kanak yang disabitkan kesalahan hendaklah ditahan di penjara atas perkenan Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 1:54 pm
Salah urus gaji, naik pangkat jangan sampai penjawat awam jadi mangsa – KPPA tegur pengurusan sumber manusia
September 14, 2026, 1:27 pm
'Dia sangat teruja! Dia tahu itu awak', isteri Kapten Zainol tahu anak kuat
September 14, 2026, 1:22 pm
ATM sedia atur gerak aset udara bantu operasi Perkhidmatan Doktor Udara KKM
September 14, 2026, 1:15 pm
Guan Eng cabar Ahmad Zahid syorkan cadangan singkir UMNO daripada Kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
