TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

'Semua membuntuti keputusan seseorang', Sanusi gesa pewakilan FAM buat keputusan bijak ubah landskap bola sepak esok

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 16 SEPTEMBER - Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendesak seluruh ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersikap berani untuk melakukan perubahan besar dalam kepimpinan badan induk itu demi menyelamatkan landskap bola sepak tempatan.

Gesaan itu dibuat menjelang Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 17 September 2026 bagi memilih barisan Jawatankuasa Eksekutif baharu bagi baki penggal 2025-2029.

Muhammad Sanusi mendakwa, corak pentadbiran dan hala tuju bola sepak negara ketika ini tidak lagi ditentukan oleh ahli gabungan atau kepimpinan FAM sendiri, sebaliknya dicorakkan oleh pihak tertentu manakala pihak lain hanya mengikut keputusan tanpa berani bersuara.

Menurut beliau, situasi tersebut menyaksikan sukan nombor satu negara itu semakin jauh daripada semangat asal untuk merakyatkan bola sepak dan memakmurkan ekonomi tempatan.

"Saya menyeru kepada semua perwakilan yang mewakili negeri-negeri dan ahli gabungan FAM untuk melakukan satu perubahan besar dalam kepimpinan bagi menyusun semula serta menentukan kepentingan industri ini.

"Saya rasa bola sepak hari ini bukan ditentukan oleh ahli gabungan atau kepimpinan FAM, tapi ditentukan oleh orang lain. Mereka semua membuntuti keputusan itu, ikut sahaja tanpa ada pendirian demi kepentingan pihak tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan industri bola sepak tempatan serta pemilihan kepimpinan baharu badan induk berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut mempertikaikan pendaftaran kuota pemain import yang disifatkan terlalu melampau sehingga menjejaskan pembangunan bakat tempatan serta mengganggu kestabilan kewangan kelab.

Jelasnya, tindakan membenarkan pendaftaran sehingga 15 pemain import dan kebanjiran pemain naturalisasi menyebabkan dana yang dikutip daripada rakyat dan penaja mengalir keluar ke negara asal pemain berkenaan.

"Bola sepak ini makan duit banyak. Persatuan cari duit, minta penajaan, tapi akhirnya duit itu hantar pergi Brazil, Argentina atau Cameroon untuk bayar gaji mahal pemain import.

"Patutnya duit yang dikutip daripada rakyat negeri digunakan untuk bayar gaji anak-anak tempatan supaya mereka belanja di sini dan besarkan ekonomi kita. Dulu kita guna 2 hingga 3 pemain import sahaja untuk beri pengalaman, sekarang sampai 15 orang berdaftar dan tujuh orang boleh turun padang," ujarnya.

Beliau menambah, jurang perbelanjaan yang terlalu tinggi akibat persaingan tidak sihat seperti penawaran gaji mencecah RM80,000 sebulan akhirnya memakan diri dan merosakkan kelab-kelab lain yang tidak mampu bersaing.

Sanusi turut mengingatkan bahawa kejayaan lalu skuad kebangsaan melangkah ke Sukan Olimpik dicapai sepenuhnya menerusi anak tempatan tanpa bergantung kepada pemain import atau naturalisasi.

"Ukur baju di badan sendiri, bola sepak tempatan adalah untuk orang tempatan. Kita pernah masuk Olimpik dulu dengan semua pemain tempatan. Sekarang piala tempatan dimenangi tapi muka yang julang piala semua muka putih, bukan muka tempatan.

"Perwakilan kena ada keberanian dan jangan takut untuk buat keputusan. Tak ada hukum bunuh atau tembak dalam hal ini. Kalau hampa sayang bola sepak, buatlah perubahan," katanya.

+ - reset