TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Arus kuat di Crystal Bay, wanita Malaysia maut ketika selam skuba di Bali

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Sept – Aktiviti selam skuba seorang wanita Malaysia di perairan Bali, Indonesia bertukar tragedi apabila dia dilaporkan meninggal dunia selepas kumpulan penyelam disertai mangsa berdepan arus laut yang sangat kuat, semalam.

Mangsa, Siti Nuraini Rusidi, 40, dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi waktu tempatan di perairan Crystal Bay, Desa Sakti.

Menurut laporan media tempatan BaliNews, mangsa memulakan aktiviti rekreasi itu kira-kira pukul 8 pagi bersama seorang juruselam, kapten bot dan beberapa penyelam lain.

Sebelum kejadian, juruselam, Eugenius Franciso Ray, 33, dilaporkan menyedari mangsa mengalami batuk ketika kumpulan berkenaan tiba di lokasi selaman pertama di Manta Bay.

Eugenius kemudian bertanyakan keadaan kesihatan mangsa, namun wanita berkenaan memaklumkan masih mampu meneruskan aktiviti berkenaan sehingga selaman di Manta Bay selesai.

"Ketika dalam perjalanan menuju ke destinasi selaman seterusnya di Crystal Bay, mangsa sekali lagi ditanya berkenaan keadaan kesihatannya, namun tetap mahu menyertai aktiviti selaman di situ," lapor portal berkenaan yang memetik sumber.

Kumpulan berkenaan kemudiannya bergerak ke Crystal Bay untuk meneruskan aktiviti selaman.

Bagaimanapun, keadaan bertukar cemas apabila mereka berdepan arus laut yang sangat kuat sehingga menyebabkan tiga penyelam dihanyutkan.

Dalam kejadian itu, Siti Nuraini kemudiannya dilaporkan meninggal dunia.

Insiden berkenaan mula mendapat perhatian di Malaysia selepas maklumat mengenainya dimuat naik seorang pengguna di platform Threads dan tular di media sosial.

Sementara itu, keluarga mangsa yang dihubungi setakat ini enggan mengulas lanjut mengenai kejadian berkenaan kerana masih terkejut dengan tragedi tersebut.

+ - reset