Berita Berita
‘Servis cepat, satu jam dah boleh dapat MyKad baru’ – Rakyat puji JPN bersedia awal urus pertukaran MyKad baharu
Oleh MOHSIN DADAMEAH
KUALA LUMPUR 17 Sept – Pengenalan MyKad berwajah baharu menerima reaksi positif orang ramai yang menyifatkan penambahbaikan ciri keselamatan dan penggunaan kod QR mampu memudahkan urusan pengesahan identiti.
Tinjauan Media Telus di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jalan Duta hari ini mendapati ada pengguna yang hadir seawal hari pertama pelaksanaan untuk mendapatkan MyKad baharu, manakala sebahagian lagi memilih menunggu sehingga keadaan lebih lengang.
Suri rumah, Nor Adiba Diyana berkata, dia mengetahui mengenai pembukaan permohonan MyKad baharu selepas melihat maklumat mengenainya menerusi laman sesawang JPN susulan pengumuman dibuat semalam.
Menurutnya, antara perkara yang menarik perhatian adalah penambahan ciri kod QR yang dilihat mampu mempercepatkan proses pengesahan identiti.
“Saya ada tengok dekat laman sesawang JPN, jadi saya nak tahu apa ciri baharu, apa yang membezakan IC baharu dengan IC lama.
“Pada saya okeylah, maksudnya dia tambah baik dari segi QR. Jadi kita dah tak perlu macam katalah polis tahan dekat jalan, tak payah dah nak kena imbas atau kena guna cap jari, hanya imbas melalui QR.
“Kita nak cepat, nak percepatkan proses. Saya rasa itu salah satu ciri yang baguslah,” katanya kepada Media Telus.
Bagaimanapun, dia tidak bercadang untuk tergesa-gesa menukar MyKad miliknya memandangkan kad sedia ada masih boleh digunakan.
Katanya, keutamaan wajar diberikan terlebih dahulu kepada individu yang benar-benar memerlukan penggantian kad sebelum pengguna lain berbuat demikian apabila jumlah pengunjung mula berkurangan.
“Kita bagi orang yang memerlukan dulu sebab IC lama pun masih boleh diguna.
“Bila orang dah berkurangan sedikit, baru kita tukar,” katanya.
Menurutnya, pengalaman berurusan di JPN Jalan Duta sebelum ini juga memuaskan, malah berdasarkan maklumat diperoleh di kaunter, MyKad baharu boleh disiapkan dalam tempoh sekitar 30 minit hingga sejam bergantung kepada waktu permohonan.
“Tadi saya tanya kaunter, dia kata yang IC baharu mungkin setengah jam ke sejam boleh dapat. Kalau kita buat petang, maksudnya kena ambil esok hari.
“Harap boleh berkekalanlah benda ini, tak perlu nak dinaik taraf lagi sekiranya tak menjejaskan pengguna kad yang ada ini,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Afzal Nizam kecekapan perkhidmatan JPN Jalan Duta yang menjadi antara sebab utama memilih untuk berurusan di cawangan berkenaan meskipun terdapat kemudahan JPN di lokasi lain.
“Kalau ada pembaharuan pun tak ada masalah untuk buat penukaran sebab JPN KL ini sistem dia cepat, terbaik.
“Setakat ini okeylah bagi saya, tak ada apa-apa masalah. Semua okey saja, dari segi kualiti semua okeylah sebab sistem mereka cepat.
“Itu yang saya tertumpu dekat sini walaupun ada cawangan di Shah Alam dan Putrajaya sebab sini cepat perkhidmatannya,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, S Ayzvara , mengakui teruja untuk mendapatkan MyKad baharu selepas kali terakhir menukar kad pengenalannya kira-kira 10 tahun lalu.
“Saya sangat teruja untuk mendapatkan IC baharu. Kali terakhir saya dapat IC baharu mungkin kira-kira 10 tahun lalu.
“Jadi kali ini ia akan tampil dengan wajah yang serba baharu dan mempunyai banyak ciri keselamatan tambahan. Itu yang membuatkan saya teruja,” katanya.
Menurutnya, dia mengambil kesempatan hadir ke JPN Jalan Duta selepas kebetulan berada di kawasan berhampiran dan mengambil keputusan untuk terus melakukan pertukaran tanpa menangguhkannya.
“Sebenarnya saya memang berada di kawasan ini tadi, jadi saya fikir kenapa tidak terus sahaja datang dan dapatkan IC baharu daripada menangguhkannya ke tarikh lain.
“Setahu saya ini ibu pejabat dan pusat utama di Kuala Lumpur. Kebetulan saya berada di kawasan ini, jadi saya ambil keputusan untuk singgah,” katanya.
Katanya, proses permohonan termasuk mengambil gambar sudah selesai dan dia hanya perlu menunggu kira-kira sejam untuk mendapatkan MyKad baharunya.
“Saya dah selesai ambil gambar dan sekarang hanya menunggu untuk mengambil Mykad baharu.
“Mykad baharu akan siap dalam satu jam,” katanya.
Tinjauan Media Telus secara keseluruhannya mendapati pengguna menyambut baik penambahbaikan MyKad baharu, khususnya dari aspek ciri keselamatan, kemudahan pengesahan identiti serta tempoh urusan yang pantas di JPN Jalan Duta.
Berita berkaitan
September 18, 2026, 5:56 pm
DAP panggil mesyuarat tergempar CEC tentukan pendirian isu tahanan rumah Najib
September 18, 2026, 5:52 pm
PAS lafaz syukur, junjung kasih atas pengampunan bersyarat Najib Razak
September 18, 2026, 5:47 pm
Ahmad Zahid harap keputusan pengampunan Najib beri momentum kepada UMNO pada PRN Melaka
September 18, 2026, 5:43 pm
Tabung sumbangan RM50 juta inisiatif UMNO bukan permintaan Najib - Ahmad Maslan
September 18, 2026, 5:43 pm
‘Sejuta ahli UMNO derma RM50 seorang, cukuplah RM50 juta untuk Najib’ – Puad
September 18, 2026, 5:39 pm
KTMB gantung tugas pekerja kontraktor susulan insiden pergaduhan di Stesen Labu
September 18, 2026, 5:09 pm
‘Penjara beberapa tahun sudah lebih daripada cukup’ – MIC, MCA hargai pengampunan Najib
September 18, 2026, 3:53 pm
Pengampunan Najib: 'Perang rasuah tetap diteruskan' - Anwar
September 18, 2026, 3:02 pm
