Berita Berita
‘Kalau tak lagi iktiraf Tuanku Muhriz, letak jawatan’ – Loke cabar Exco Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR 17 Sept – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menggesa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar supaya meletakkan jawatan atas prinsip dan maruah.
Gesaan itu dibuat susulan keputusan barisan Exco kerajaan negeri yang secara kolektif mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu. Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim hari ini mengesahkan keputusan berkenaan dibuat sebulat suara dalam mesyuarat MMK pada 15 September lalu.
Loke berkata, tindakan meletakkan jawatan wajar dilakukan memandangkan kesemua Exco terbabit baru sahaja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada awal Ogos lalu.
“DAP tetap berpegang teguh pada prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dalam negara kita.
“Keluhuran undang-undang serta kemuliaan institusi diraja mesti dipertahankan dan tidak boleh dipermainkan demi sebarang kepentingan politik atau peribadi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban turut mempersoalkan tindakan barisan Exco berkenaan yang kebanyakannya baru dilantik, malah menurutnya, ada antara mereka belum pernah menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai anggota kerajaan.
“Mereka sepatutnya meneliti dan memahami terlebih dahulu peruntukan undang-undang serta punca kuasa masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kedudukan raja pemerintah negeri.
“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh diturunkan takhta sewenang-wenangnya tanpa proses yang sah menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Tindakan Exco membuat pengumuman sedemikian telah menimbulkan kekeliruan, menggugat tatatertib pentadbiran negeri dan mencemarkan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Besar,” tegasnya.
Dalam pada itu, Loke mendakwa keputusan Exco mengiktiraf proklamasi berkenaan serta seorang pengganti berkuat kuasa serta-merta tidak berasas dari segi undang-undang dan disifatkannya boleh dianggap sebagai derhaka terhadap raja pemerintah negeri.
Menurutnya, keputusan Exco tidak boleh dengan sendirinya mengatasi UUTKNS atau ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
DKU hari ini menegaskan pengumuman Exco berkenaan tidak mempunyai kesan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz dan pendiriannya bahawa baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Sekiranya tindakan seumpama ini dilakukan oleh barisan Exco ketika Negeri Sembilan ditadbir oleh Pakatan Harapan, sudah tentu mereka yang selama ini gemar memperalatkan isu 3R untuk menyalahkan DAP akan mengecamnya habis-habisan,” ujarnya.
Berita berkaitan
September 17, 2026, 5:58 pm
‘Tenang-tenang Pak’ – Anwar puji pemimpin Sabah, Sarawak depan Zahid
September 17, 2026, 4:54 pm
Altimet gesa platform e-hailing, p-hailing perkenal kadar potongan lebih adil
September 17, 2026, 4:47 pm
Ab Rauf enggan campur tangan cadangan pembahagian kerusi DAP di Melaka
September 17, 2026, 4:41 pm
Mahdzir bidas PH, tegaskan pengampunan hak prerogatif Agong berteraskan Perlembagaan
September 17, 2026, 2:34 pm
Arus kuat di Crystal Bay, wanita Malaysia maut ketika selam skuba di Bali
September 17, 2026, 1:55 pm
‘Servis cepat, satu jam dah boleh dapat MyKad baru’ – Rakyat puji JPN bersedia awal urus pertukaran MyKad baharu
September 17, 2026, 1:54 pm
Polis siasat remaja 14 tahun pandu kereta rempuh dua kenderaan di Taman Chai Leng
September 17, 2026, 1:37 pm
Imigresen gempur premis kediaman dan perniagaan di Kluang, 25 warga asing ditahan
September 17, 2026, 1:25 pm
