Berita Berita
‘Guru tak boleh jamin murid langsung tak cedera’ – Mahkamah tolak saman RM1 juta mangsa terhadap guru, KPM
SHAH ALAM 18 Sept – Seorang remaja perempuan yang mengalami patah tulang selepas kerusi yang ingin didudukinya ditarik seorang rakan gagal dalam saman RM1 juta terhadap tiga guru, seorang guru besar, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kerajaan Malaysia.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman yang difailkan remaja berusia 14 tahun itu bersama bapanya, Wan Amey Shahril Wan Ab Rahman, 39, selepas mendapati dakwaan kecuaian terhadap semua defendan gagal dibuktikan atas imbangan kebarangkalian.
Remaja berkenaan dan bapanya masing-masing dinamakan sebagai plaintif pertama dan kedua dalam saman tersebut.
Mereka menamakan tiga guru, Ilyana Sari Ridzuan, Suhaida Abdul Rahman dan Aizam Naim Mohd Junid; guru besar, Hamidah Shamsudin; KPM serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keenam.
Saman itu difailkan atas dakwaan kecuaian sehingga menyebabkan remaja berkenaan mengalami kecederaan ketika menghadiri program pendidikan khas di sebuah sekolah kebangsaan di sini pada 12 Oktober 2023.
Ketika membacakan penghakiman, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Anita Harun berkata, plaintif pertama yang ketika kejadian berusia 11 tahun terjatuh sehingga mengalami patah tulang femur kiri.
“Plaintif-plaintif mendakwa berlaku kecuaian dan mungkir tanggungjawab menjaga (duty of care) terhadap murid.
“Guru mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan murid, seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.
“Namun, tanggungjawab itu bukan bermaksud guru dapat menjamin murid langsung tidak cedera,” katanya.
Menurut Anita, pihak plaintif masih perlu membuktikan bahawa kecuaian guru menjadi punca kepada kerugian atau kecederaan yang dialami berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati dakwaan bahawa kejadian itu berlaku akibat ketiadaan pengawasan sehingga menyebabkan kecederaan tidak berjaya dibuktikan.
“Plaintif pertama sendiri mengakui bahawa kejadian itu berlaku dengan cepat tanpa ada pertengkaran sebelum itu. Kegagalan pengawasan dan punca jatuh pula tidak dapat dibuktikan,” katanya.
Mahkamah turut meneliti kronologi kejadian termasuk rekod perubatan yang meletakkan waktu insiden kira-kira jam 10 pagi, manakala ibu mangsa, Azera Yazid, 38, menganggarkan kejadian berlaku sekitar jam 10.40 pagi sebelum beliau tiba di sekolah kira-kira jam 11.20 pagi.
Anita berkata, mahkamah menerima keterangan bahawa mangsa diberikan bantuan selepas kejadian sebelum bergerak ke arah bapanya yang berada di tingkat bawah bangunan sekolah.
Menurutnya, prosedur sekolah menyokong tindakan menghubungi ibu bapa dalam situasi berkenaan, namun tidak menetapkan kewajipan untuk memanggil ambulans.
“Mempertimbangkan bantuan yang diberikan, kehadiran pantas ibu mangsa, pemerhatian guru-guru serta masa yang berlalu, menguruskan pengambilan oleh ibu bapa berbanding pengangkutan kecemasan adalah munasabah dengan sendirinya.
“Kanak-kanak itu sepatutnya kekal berehat dan menerima bantuan sewajarnya apabila bergerak ke arah bapanya,” katanya.
Beliau berkata, tiada kegagalan pentadbiran secara berasingan yang menyebabkan kerugian berjaya dibuktikan, manakala asas diperlukan untuk menentukan liabiliti juga gagal dibuktikan atas imbangan kebarangkalian.
“Tindakan plaintif-plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak,” katanya.
Dalam prosiding itu, semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Afiq Nazrin Zaharinan, manakala kedua-dua plaintif diwakili peguam Soffian Azmir.
Pada 4 Ogos 2024, media melaporkan remaja terbabit yang ketika itu berusia 12 tahun menderita hampir setahun akibat komplikasi kecederaan selepas terjatuh apabila kerusi yang ingin didudukinya ditarik seorang kenalan di sekolah.
Sumber: Kosmo Online
Berita berkaitan
September 18, 2026, 3:53 pm
Pengampunan Najib: 'Perang rasuah tetap diteruskan' - Anwar
September 18, 2026, 2:34 pm
UMNO buka tabung bantu Najib bayar RM50 juta untuk jalani tahanan rumah
September 18, 2026, 2:02 pm
AGC tolak representasi, Zamri Vinoth bakal dibicara April depan
September 18, 2026, 1:01 pm
Pemimpin Houthi bidas tuduhan Arab Saudi, nafi lancar dron ke Makkah
September 18, 2026, 12:58 pm
DBKL tutup empat premis, keluar 15 kompaun dalam operasi warga asing di Jalan Alor
September 18, 2026, 12:47 pm
Lelaki cedera ditikam individu tidak dikenali di Pasar Borong Kuala Lumpur
September 18, 2026, 12:41 pm
Sita kontena kargo Israel bukti ketegasan Malaysia tolak logistik Zionis
September 18, 2026, 12:35 pm
