TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Anwar dapat laba besar daripada isu 1MDB’ - Rafizi tuntut penjelasan isu tahanan rumah Najib, biar rakyat jadi mata dan telinga

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Sept – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) digesa memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai syarat tahanan rumah yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Perdana Menteri sekurang-kurangnya perlu mengumumkan syarat-syarat tahanan rumah berkenaan supaya tindakan boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran. 

"Paling kurang, Perdana Menteri perlu mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci supaya jika ada pelanggaran yang nyata, tindakan boleh diambil.

"Ini bukan soal politik, tetapi hutang yang Perdana Menteri dan PH ada kepada rakyat mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), terutama individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian mereka sehingga isu 1MDB diketahui umum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi turut berharap Anwar dan kepimpinan PH tidak mengulangi hujah bahawa perkara berkenaan berada di luar kawalan mereka.

Menurutnya, isu 1MDB mempunyai kesan besar terhadap landskap politik negara, termasuk dalam membentuk sokongan rakyat kepada PH pada Pilihan Raya Umum 2018. 

Beliau mendakwa Anwar turut mendapat manfaat politik daripada isu berkenaan walaupun ketika kemuncak pertembungan skandal 1MDB antara 2015 hingga 2018, Anwar berada di penjara.

"Selain daripada ucapan di Parlimen yang ditulis oleh penulis ucapan, beliau (Perdana Menteri) tidak ke depan memperhalusi skandal 1MDB berbanding ramai rakyat biasa yang lain.

"Di kemuncak pertembungan skandal 1MDB antara tahun 2015 hingga 2018, Perdana Menteri berada di penjara.

"Tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat bersabit 1MDB digalas oleh rakyat biasa dalam kalangan penjawat awam, media dan aktivis. Ramai dari mereka ini tidak bernama," katanya.

Sehubungan itu, Rafizi mahu rakyat menjadi 'mata dan telinga' masyarakat bagi memastikan pelaksanaan tahanan rumah Najib mematuhi setiap syarat yang ditetapkan.

"Kepada rakyat Malaysia yang mempunyai rasa mendalam mengenai penyelewengan 1MDB dan rentetan isu akibat skandal itu, saya berharap kita sama-sama sedar bahawa tanggungjawab menjaga amanah rakyat itu adalah satu kerja berterusan yang tidak akan berhenti.

"Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk terus mendidik golongan muda mengenai apa yang berlaku dan peri penting usaha berterusan membudayakan pentadbiran negara dengan integriti.

"Kepada Datuk Seri Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka daripada skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia," katanya.

Rafizi bagaimanapun berkata, beliau berlapang dada menerima keputusan berkenaan dan berpandangan proses tahanan rumah Najib sebaik-baiknya dilaksanakan secara senyap bagi mengelakkan pelbagai reaksi lain. 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.

 

+ - reset