TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengampunan Najib: 'Perang rasuah tetap diteruskan' - Anwar

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 18 Sept - Pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah tidak menjejaskan ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, semua kes rasuah, termasuk melibatkan Najib yang masih berjalan, perlu diteruskan mengikut proses dan landasan undang-undang.

"Tetapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, dan saya harap kita terima baik (keputusan itu),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana Presint 10, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, ketegasan dalam menangani isu rasuah perlu diteruskan dengan dukungan seluruh rakyat bagi memastikan sebarang salah laku atau salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau individu tidak dipandang ringan.

"Begitu juga kes-kes lain dalam soal rasuah, negara ini mesti diselamatkan, dan kita perlu ketegasan dengan dukungan semua rakyat dalam menentukan hukum negara ini tidak lagi dianggap ringan, apa-apa salah laku atau salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau mana-mana rakyat. Ini pendirian kita," katanya.

Ditanya mengenai keperluan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berkaitan pelaksanaan tahanan rumah, Anwar berkata, perkara itu merupakan bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Perintah itu tertakluk sekiranya Najib membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara pada Jumaat. - Bernama

+ - reset