TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UMNO buka tabung bantu Najib bayar RM50 juta untuk jalani tahanan rumah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Sept - UMNO akan menggerakkan kutipan sumbangan secara sukarela bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang menjadi syarat untuk beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tabung sumbangan itu akan dibuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO, selain orang ramai yang mahu memberikan sokongan kepada Najib.

“Ia akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 menerusi pengampunan bersyarat, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, pengampunan bersyarat itu boleh terbatal sekiranya Najib melanggar syarat ditetapkan, yang akan menyebabkan beliau perlu kembali menjalani baki hukuman di penjara.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kemudian dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan pada 2024.

Dalam pada itu, Zahid berkata, UMNO menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Menurutnya, pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan berkenaan melalui saluran ditetapkan dengan menghormati institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Saya menyeru seluruh ahli Umno agar menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan,” katanya.

+ - reset