TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tabung sumbangan RM50 juta inisiatif UMNO bukan permintaan Najib - Ahmad Maslan

By
|
Kongsi
image

PONTIAN, 18 September – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bahawa penubuhan tabung sumbangan khas bagi membantu melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak adalah hasil inisiatif kepimpinan serta ahli UMNO, dan bukannya atas permintaan bekas Perdana Menteri itu.

Ahmad Maslan menjelaskan bahawa langkah berkenaan diusulkan secara rasmi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kemudiannya mendapat sokongan padu daripada barisan kepimpinan MKT serta ahli parti di seluruh negara.

Kenyataan terbabit dibuat selepas beliau melawat tapak pembinaan Tadika Kemas bernilai RM2.2 juta di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi yang dibina menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Inisiatif pengumpulan dana sukarela ini menyusul selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 dengan syarat denda RM50 juta berkenaan dilunaskan.

Sehubungan itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menggesa Ibu Pejabat UMNO agar segera mengumumkan akaun rasmi khas bagi mewujudkan pangkalan dana yang diselaraskan secara telus sekali gus mengelakkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

+ - reset