Berita Berita
‘Penjara beberapa tahun sudah lebih daripada cukup’ – MIC, MCA hargai pengampunan Najib
KUALA LUMPUR 18 Sept – Dua parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC dan MCA merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau gembira dengan keputusan berkenaan selain berpandangan Najib mempunyai banyak jasa kepada negara ketika menerajui pentadbiran, khususnya kepada masyarakat India.
“Tiada siapa boleh menafikan banyak perkara baik dan inisiatif yang telah beliau lakukan untuk negara.
“Walau apa pun kekurangannya, beliau telah menjalani hukuman penjara untuk beberapa tahun. Bagi seseorang seperti Najib, pemenjaraan selama beberapa tahun sudah lebih daripada cukup. Beliau layak menjalani tahanan rumah,” katanya.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjunjung kasih atas keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat berkenaan.
Menurutnya, proses kehakiman dan proses pengampunan perlu difahami sebagai dua proses berbeza yang masing-masing mempunyai kedudukan dalam sistem perundangan dan Perlembagaan negara.
“Justeru, menghormati keputusan lembaga pengampunan tidak bermaksud menafikan keputusan mahkamah, sebagaimana menghormati keputusan mahkamah tidak bermaksud mempertikaikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada sistem perundangan dan Perlembagaan negara yang perlu dihormati,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Sekiranya Najib gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.
Hukuman asal penjara 12 tahun terhadapnya sebelum ini dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024.
Berita berkaitan
September 18, 2026, 5:47 pm
Ahmad Zahid harap keputusan pengampunan Najib beri momentum kepada UMNO pada PRN Melaka
September 18, 2026, 5:43 pm
Tabung sumbangan RM50 juta inisiatif UMNO bukan permintaan Najib - Ahmad Maslan
September 18, 2026, 5:43 pm
‘Sejuta ahli UMNO derma RM50 seorang, cukuplah RM50 juta untuk Najib’ – Puad
September 18, 2026, 5:39 pm
KTMB gantung tugas pekerja kontraktor susulan insiden pergaduhan di Stesen Labu
September 18, 2026, 3:53 pm
Pengampunan Najib: 'Perang rasuah tetap diteruskan' - Anwar
September 18, 2026, 3:02 pm
‘Guru tak boleh jamin murid langsung tak cedera’ – Mahkamah tolak saman RM1 juta mangsa terhadap guru, KPM
September 18, 2026, 2:34 pm
UMNO buka tabung bantu Najib bayar RM50 juta untuk jalani tahanan rumah
September 18, 2026, 2:02 pm
