TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tikam isteri 13 kali, bekas juruteknik didakwa membunuh

By
|
Kongsi
image

 

KULIM 21 Sept – Seorang bekas juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang ditemukan maut dengan 13 kesan tikaman di kediaman mereka, minggu lalu.

Tertuduh, G Vikneswaran, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes pembunuhan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang juga bapa kepada seorang anak lelaki itu didakwa menyebabkan kematian isterinya, S Sila, 39, di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 6.30 petang hingga 9.04 malam pada 14 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dihukum mati, sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh berikutan pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita maut selepas dipercayai ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.

Suspek kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Lunas dan memaklumkan kepada polis mengenai kejadian berkenaan.

Dia turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

+ - reset