Berita Berita
‘Tak perlu tinggalkan kerajaan untuk pertahan prinsip’ – Aiman Athirah
SEPANG 21 Sept - Parti Amanah Negara (Amanah) tidak melihat tindakan meninggalkan Kerajaan Perpaduan sebagai satu-satunya cara untuk mempertahankan prinsip susulan perkembangan politik semasa.
Sebaliknya, Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, baki mandat kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneruskan agenda reformasi dan meninggalkan legasi pembaharuan kepada negara.
“Kita tidak perlu meninggalkan kerajaan untuk mempertahankan prinsip. Tetapi kita juga tidak boleh mempertahankan kerajaan sehingga meninggalkan prinsip,” katanya ketika merasmikan Konvensyen AWAN Negeri Selangor.
Menurut Aiman Athirah, Amanah perlu kekal teguh dengan prinsip perjuangannya, namun pada masa sama menggunakan ruang dalam kerajaan untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem sedia ada.
Kenyataan itu dibuat ketika landskap politik negara berdepan perkembangan susulan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta tawaran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad memaklumkan beliau akan bertemu Loke bagi mendengar pandangan pemimpin DAP itu sebelum membuat keputusan mengenai tawaran peletakan jawatannya.
Mengulas perkembangan itu, Aiman Athirah berkata, Amanah menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta kuasa pengampunan yang diperuntukkan menerusi Perlembagaan.
Bagaimanapun, katanya, pendirian berkenaan tidak seharusnya melemahkan komitmen terhadap kedaulatan undang-undang, integriti, akauntabiliti dan reformasi institusi.
“Menghormati institusi tidak bermakna kita harus berdiam diri terhadap persoalan prinsip. Dan mempertahankan prinsip tidak semestinya bermakna kita mesti meninggalkan meja pemerintahan,” katanya.
Beliau menegaskan keberadaan Amanah dalam kerajaan bukan semata-mata untuk mempertahankan jawatan, sebaliknya menggunakan mandat yang ada untuk memperbaiki sistem dan institusi negara.
Sehubungan itu, Aiman Athirah mahu baki tempoh pentadbiran digunakan untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa agenda reformasi termasuk pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Kebebasan Maklumat, had tempoh jawatan Perdana Menteri serta penubuhan Ombudsman Malaysia.
“Reformasi tidak boleh berhenti sebagai manifesto, janji pilihan raya atau wacana di pentas politik. Ia mesti menjadi undang-undang, menjadi institusi, menjadi amalan pentadbiran dan akhirnya menjadi budaya negara,” katanya.
Menurutnya, reformasi institusi juga perlu diterjemahkan kepada perubahan yang boleh dirasai rakyat termasuk dalam menangani isu kos sara hidup, perumahan mampu milik, pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan mobiliti sosial.
“Rakyat tidak makan reformasi sebagai slogan. Rakyat mahu merasai dan menikmati hasilnya dalam kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Aiman Athirah menegaskan sokongan Amanah terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan tidak bermaksud parti itu perlu bersetuju dalam semua perkara.
“Kestabilan bukan bermaksud kita mesti bersetuju dalam segala perkara.
“Kestabilan bermaksud kita mempunyai kematangan untuk berbeza tanpa menghancurkan negara dan memberikan fokus kepada amanah yang diletakkan di atas pundak kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan Amanah tidak boleh menentukan masa depannya berdasarkan perubahan jajaran atau kerjasama politik semasa.
“Kita tidak boleh membina masa depan Amanah berdasarkan siapa yang sedang berjabat tangan dengan siapa.
“Kita mesti tahu siapa kita, apa prinsip kita, apa yang kita perjuangkan dan untuk siapa kita berjuang,” katanya.
Menurutnya, kekuatan Amanah perlu dibina menerusi organisasi, akar umbi, kepimpinan dan kepercayaan rakyat, bukan semata-mata bergantung kepada rundingan kerusi atau percaturan politik.
Mengakhiri ucapannya, Aiman Athirah mengingatkan ahli parti supaya bersedia menghadapi perubahan landskap politik tanpa mengorbankan asas perjuangan Amanah.
“Angin politik boleh berubah. Tetapi akar Amanah tidak boleh berubah,” katanya.
Berita berkaitan
September 21, 2026, 2:54 pm
Istana batal pelantikan, MB kata 10 Exco masih sah, teruskan kerja macam biasa
September 21, 2026, 2:42 pm
Pekerja kafe mengaku tidak bersalah salah guna kad ATM individu lain di Besut
September 21, 2026, 2:35 pm
Jabatan Penjara sangkal dakwaan Yasin wujud sistem kasta dan pengaruh kewangan dalam penjara
September 21, 2026, 2:25 pm
Banjir di Janda Baik, 105 mangsa dipindahkan ke PPS
September 21, 2026, 2:18 pm
Seramai 55,169 penjawat awam berisiko tinggi alami masalah kesihatan mental
September 21, 2026, 1:22 pm
Tikam isteri 13 kali, bekas juruteknik didakwa membunuh
September 21, 2026, 12:36 pm
Konvoi motosikal laju punca kemalangan maut tiga nyawa di Ipoh, polis sahkan lokasi hotspot lumba haram
September 21, 2026, 12:29 pm
Pemimpin politik dituntut jadi pendamai krisis diraja, Akmal ingatkan kesan buruk terhadap rakyat
September 21, 2026, 12:24 pm
