Berita Berita
Konvoi motosikal laju punca kemalangan maut tiga nyawa di Ipoh, polis sahkan lokasi hotspot lumba haram
TANJONG MALIM, 21 Sept. – Siasatan awal polis mendapati kumpulan penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut meragut tiga nyawa di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh Sabtu lalu dipercayai bergerak dalam kelajuan tinggi secara berkonvoi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan bahawa beberapa motosikal dalam kumpulan dari arah Ipoh berkenaan hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios dari arah bertentangan.
Rempuhan awal terbabit menyebabkan kumpulan motosikal kedua yang mengekor di belakang gagal mengelak lalu merempuh kenderaan serta susunan motosikal yang telah terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Beliau mendedahkan bahawa laluan terbabit sememangnya telah dikenal pasti sebagai lokasi panas (hotspot) aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang sering menjadi tumpuan pemuda tempatan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa pihak polis secara konsisten menjalankan operasi penguatkuasaan pada awal pagi di kawasan terbabit, namun kumpulan penunggang berkenaan dikesan kembali berkumpul sebaik sahaja operasi polis tamat sekitar jam 3 pagi.
Semua individu yang terlibat dalam insiden tragis pada jam 3.35 pagi 19 September itu telah pun dikenal pasti, manakala pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengesahkan pemilik sebenar kenderaan serta punca hakiki kemalangan.
Setakat ini, rakaman keterangan telah diambil daripada penunggang motosikal yang terselamat serta pemandu Toyota Vios berkenaan, kecuali seorang mangsa lelaki berusia 19 tahun yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Tragedi berdarah itu mengorbankan tiga penunggang motosikal berumur antara 19 hingga 20 tahun di tempat kejadian, sementara sembilan lagi penunggang berusia 19 hingga 25 tahun mengalami pelbagai kecederaan parah.
Sebagai langkah pemantauan berterusan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah melaksanakan 64 operasi lumba haram sepanjang Januari hingga 19 September lalu yang membawa kepada 11 tangkapan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta menyita 41 kenderaan mengikut Seksyen 64(1) akta sama.
Berita berkaitan
September 21, 2026, 1:36 pm
‘Tak perlu tinggalkan kerajaan untuk pertahan prinsip’ – Aiman Athirah
September 21, 2026, 1:22 pm
Tikam isteri 13 kali, bekas juruteknik didakwa membunuh
September 21, 2026, 12:29 pm
Pemimpin politik dituntut jadi pendamai krisis diraja, Akmal ingatkan kesan buruk terhadap rakyat
September 21, 2026, 12:24 pm
Pemberhentian EXCO tanpa nasihat MB tidak sah dan tidak berperlembagaan - Ismail Lasim
September 21, 2026, 12:14 pm
Serah nama EXCO tak selesai masalah, kes Istana Negeri Sembilan perlu dibawa ke mahkamah - Penganalisis
September 21, 2026, 10:41 am
Polis belum terima maklumat Najib pulang Langgak Duta hari ini
September 21, 2026, 10:33 am
Tiga lelaki tular kencing tepi lebuh raya dicekup polis di Johor Bahru
September 21, 2026, 10:27 am
Kerjasama PH, BERSATU bagi PRN Melaka belum muktamad, bergantung rundingan
September 21, 2026, 10:19 am
