TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jabatan Penjara sangkal dakwaan Yasin wujud sistem kasta dan pengaruh kewangan dalam penjara

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU, 21 September – Jabatan Penjara Malaysia tampil menafikan dakwaan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman berhubung isu kewujudan sistem kasta atau hierarki dalam kalangan banduan yang kononnya sangat bergantung kepada faktor kewangan serta pengaruh.

Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Mohamad Rosidek Musa menegaskan bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar memandangkan pengurusan penjara sentiasa memberi fokus kepada program pemulihan serta kawalan ketat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan sewaktu sidang media di Blok Wanita Penjara Pengkalan Chepa bagi mengulas kenyataan Yasin menerusi sebuah program audio siar (podcast) tular yang mendedahkan kehidupannya sepanjang tempoh penahanan.

Mohamad Rosidek tidak menolak kemungkinan bahawa status Yasin sebagai figura terkenal membuatkan kenyataannya kini menjadi tumpuan di platfom media sosial selepas beliau dilepaskan daripada hukuman.

Sehubungan itu, pihak Jabatan Penjara menggesa agar masyarakat dan pihak media memberikan lebih perhatian kepada pencapaian kejayaan bekas banduan yang telah bebas berbanding terus mengetengahkan naratif negatif.

Pihak pentadbiran penjara turut berikrar akan sentiasa bertindak tegas dalam menangani sebarang salah laku atau aktiviti negatif di dalam penjara demi memastikan proses pemulihan para penghuni berjalan secara adil dan berkesan.

+ - reset