TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Makin kurus, dijemur tengah panas', orang ramai tuntut NRES bawa balik gajah dari zoo Jepun

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 SEPTEMBER – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) digesa supaya mengambil tindakan segera untuk membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

Gesaan itu disuarakan oleh rakyat Malaysia dan aktivis haiwan berikutan tularnya satu rakaman video di TikTok yang memaparkan keadaan terkini mamalia berkenaan yang didakwa semakin kurus serta terdedah kepada cuaca panas terik.

Menerusi video yang dimuat naik oleh akaun @animalover412, pemilik akaun berkenaan dilihat menangis teresak-esak semasa membuat siaran langsung kerana tidak sanggup melihat keadaan gajah-gajah tersebut. 

Menurutnya, saiz badan gajah berkenaan kelihatan susut sehingga menampakkan tulang, selain terpaksa berlindung di sebalik tembok sempit akibat cuaca panas yang terik di kawasan kurungan tersebut.

Perkongsian berkenaan mencetuskan simpati serta kemarahan dalam kalangan warganet, dengan ramai yang meluahkan rasa kasihan dan mendesak pihak berkuasa tempatan serta NRES agar campur tangan bagi menyelamatkan haiwan berkenaan.

Untuk rekod, tiga ekor gajah berkenaan yang dinamakan Dara, Amoi dan Kelat (DAK) telah dihantar ke Zoo Tennoji pada tahun 2022. Pemindahan tersebut dilakukan menerusi perjanjian kerjasama secara perniagaan antara zoo atau zoo-to-zoo (B2B) yang dimeterai antara Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan Tennoji Zoo Osaka (TZO).

Sehingga kini, orang ramai terus menggesa agar penilaian semula terhadap kebajikan gajah-gajah tersebut dilakukan dengan segera demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan haiwan warisan negara itu terjamin.

+ - reset