TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas COO Tabung Haji dijerat tiga pertuduhan terima kos ubah suai rumah RM302,000

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 24 Sept. – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima kos pengubahsuaian tiga buah rumah bernilai keseluruhan lebih RM302,000 kira-kira sembilan tahun lalu.

Adi Azuan, 56, membuat pengakuan tidak bersalah berkenaan sejurus kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, bekas ahli korporat yang hadir memakai kot kelabu itu didakwa menerima barang berharga berupa kos pengubahsuaian tiga premis kediaman di Seksyen 13 Shah Alam, Kota Damansara, dan Subang Jaya yang masing-masing bernilai RM235,866.58, RM50,698.74, dan RM15,933.95.

Kesemua kos pengubahsuaian berkenaan didakwa diterima daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan tertuduh dalam urusan kerja beliau pada 7 Mac 2017.

Pendakwaan bagi kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin memaklumkan mahkamah bahawa kes berkenaan tergolong dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya ingin membenarkan jaminan dengan mencadangkan kadar RM70,000 berserta seorang penjamin dan syarat tambahan yang munasabah.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili tertuduh memohon agar kadar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya telah bersara tahun lalu dan mengalami masalah kesihatan jantung.

Pihak pembelaan turut memohon agar pasport tertuduh tidak ditahan memandangkan anak guamnya dijadualkan berlepas ke tanah suci bagi menunaikan ibadah umrah dalam masa terdekat.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Hakim Awang Kerisnada membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin yang bermastautin di Selangor atau Kuala Lumpur.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya setiap tiga bulan sekali serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Berhubung isu pasport, mahkamah menetapkan dokumen berkenaan perlu diserahkan, namun tertuduh dibenarkan mengemukakan permohonan pelepasan sementara bagi urusan ke luar negara termasuk untuk menunaikan umrah.

Pendakwaan ke atas Adi Azuan sepatutnya berlangsung pada 3 September lalu tetapi terpaksa ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke hospital akibat komplikasi jantung.

Nama tertuduh merupakan antara pegawai kanan TH yang pernah dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelbagai isu salah laku pengurusan serta pentadbiran agensi berkenaan.

Mahkamah Sesyen kemudian menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset