TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemilik syarikat didenda RM40,000 jual 529 telefon bimbit tiruan

By
|
Kongsi
image

IPOH, 24 Sept. – Seorang pemilik syarikat dijatuhi hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 529 unit telefon bimbit menggunakan cap dagangan palsu bagi tujuan perdagangan pada Februari lalu.

Tertuduh selaku orang kena saman (OKS), Wong Soon Yaw, 37, turut berdepan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Hakim Ainul Shahrin Mohamad sejurus tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara rasmi oleh jurubahasa mahkamah.

Selain hukuman denda, mahkamah turut memerintahkan agar kesemua barangan kes dilucut hak kepada kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan pelupusan.

Mengikut kertas pertuduhan, Soon Yaw didakwa memiliki bagi maksud perdagangan sebanyak 529 unit telefon pintar pelbagai model jenama Oppo yang mempamerkan cap dagangan berdaftar milik Guangdong Oppo Mobile Telecommunications Corp. Ltd. tanpa kebenaran sah.

Barangan tiruan yang disita berkenaan merangkumi 115 unit model A31, 12 unit model A74 5G, 12 unit model A83, 6 unit model A56 5G, 14 unit model A3S, satu unit model Reno3, 365 unit model A73 5G, serta empat unit model A53.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan terbabit di premis syarikatnya di Jalan Besar Gunung Rapat, Gunung Rapat pada jam 12.25 tengah hari, 5 Februari lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, N. Shamani manakala tertuduh tidak diwakili peguam sepanjang prosiding berlangsung.

Difahamkan bahawa OKS telah menjelaskan bayaran denda berkenaan sejurus hukuman dijatuhkan oleh mahkamah. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset