TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Baju lokap oren sepatutnya cukup buat kita gerun’ – Fadhlina beri amaran warga KPM isu rasuah

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 24 Sept – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengingatkan warga Kementerian Pendidikan (KPM) supaya menjauhi rasuah dan penyelewengan sambil menegaskan pemakaian baju lokap berwarna oren oleh pesalah rasuah sepatutnya sudah cukup untuk menimbulkan rasa gerun.

Beliau berkata, penghayatan nilai integriti amat penting dalam pengurusan kementerian, terutama apabila melibatkan peruntukan dana yang besar dan menuntut tanggungjawab moral tinggi dalam kalangan penjawat awam.

“Integriti bukan hanya tentang apa-apa yang kita lafazkan, tetapi bagaimana nilai itu kita bawa dalam kehidupan dan pekerjaan kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM bagi September 2026 di Auditorium Kompleks E, di sini.

Komitmen itu turut diterjemahkan menerusi pelaksanaan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai penegasan KPM untuk menolak sebarang bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan.

Bagi memperkukuh pembudayaan tatakelola telus, majlis berkenaan turut disusuli Forum Integriti dan Antirasuah KPM bertemakan “Memperkukuh Tadbir Urus Organisasi KPM”.

Forum itu dikendalikan Ishak Abu Bakar sebagai moderator dengan menampilkan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali dan Presiden Intras Malaysia, Datuk Mohamad Fauzi Husin sebagai ahli panel.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut menjelaskan kekeliruan masyarakat berhubung pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober depan.

Menjawab kebimbangan ibu bapa, beliau menegaskan inisiatif itu bukan satu lagi bentuk peperiksaan yang akan menambah beban murid.

“Matriks Pembelajaran ini bukan menambah satu lagi beban peperiksaan kepada anak-anak, tetapi merupakan mekanisme untuk mendapatkan maklumat yang lebih bermakna tentang pembelajaran mereka.”

Menurutnya, data diagnosis yang diperoleh menerusi matriks itu penting bagi membolehkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merancang intervensi lebih bersasar supaya tiada murid tercicir.

Pada majlis sama, KPM turut menyempurnakan penyerahan Sijil Pengiktirafan Rangkaian Sekolah-sekolah Bersekutu UNESCO (ASPnet) kepada 10 institusi pendidikan tempatan membabitkan enam sekolah, tiga Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan sebuah kolej vokasional.

Penyertaan itu menjadi platform kepada warga pendidik dan murid untuk berhubung dengan jaringan pendidikan antarabangsa, sekali gus memperluas pengalaman serta peluang pembelajaran merentas sempadan.

+ - reset