TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan Terengganu batalkan Kejohanan Bola Jaring Campuran di Jeram

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU, 24 Sept. – Kerajaan Negeri Terengganu bertindak membatalkan penganjuran Kejohanan Bola Jaring Mini Campuran di Jeram, Manir selepas mendapati penganjuran acara berkenaan bertentangan dengan garis panduan sukan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan bahawa hasil siasatan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati kejohanan terbabit dianjurkan secara persendirian tanpa penglibatan mana-mana agensi kerajaan.

Berikutan itu, pihak penganjur telah diarahkan untuk mengemukakan permohonan permit kelulusan rasmi kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi sebarang penganjuran acara pada masa hadapan.

Langkah pembatalan berkenaan diambil susulan aduan awam berhubung poster kejohanan terbabit yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober depan yang tular menerusi media sosial.

Hishamuddin menjelaskan bahawa konsep pertandingan berkenaan didapati melanggar Perkara 4 Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu yang melarang penyertaan bercampur antara lelaki dan wanita.

Beliau menegaskan bahawa penganjur tidak dibenarkan meneruskan program berkenaan melainkan jika ia dianjurkan secara berasingan dengan hanya melibatkan peserta wanita sahaja.

Meskipun Kerajaan Terengganu sentiasa terbuka terhadap penganjuran sebarang aktiviti sukan, beliau mengingatkan semua pihak agar sentiasa menghormati dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Hishamuddin turut menegaskan bahawa keputusan pembatalan itu bukanlah bertujuan menyekat penglibatan awam mahupun wanita dalam aktiviti sukan, sebaliknya bagi memastikan pembangunan sukan selari dengan nilai agama dan budaya tempatan.

Pihak kerajaan negeri berharap budaya sukan dalam kalangan masyarakat Terengganu dapat terus dipupuk dengan menerapkan nilai-nilai Islamik tanpa melanggar sebarang peraturan rasmi.

+ - reset