TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Suami OKU dihalau dari petak parkir, isteri kecewa hak dipertikai penganjur

By
|
Kongsi
image

KLEBANG 28 SEPTEMBER – Hati seorang isteri hancur dan berasa amat kesal selepas suaminya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dihalau dari petak parkir khas di Klebang Walk, di sini, baru-baru ini.

Melalui satu perkongsian di media sosial oleh pengguna bernama Maisarafaeza, beliau meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan seorang lelaki warga emas yang secara berterusan meletakkan syarat serta meninggi suara terhadap pasangan berkenaan.

Menurut wanita itu, suaminya merupakan OKU fizikal yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan dan kini perlu menggunakan kaki palsu untuk bergerak. 

Walaupun kenderaan mereka dilengkapkan dengan pelekat OKU yang sah serta pemegangnya mempunyai kad pendaftaran rasmi, kehadiran mereka di petak berkenaan tetap dihalang.

Lelaki terbabit mendakwa petak parkir berkenaan dikhaskan hanya untuk pengguna kerusi roda mengikut dakwaan peraturan penganjur. 

Namun, pemeriksaan pada papan tanda di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kekangan sedemikian dinyatakan secara khusus.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila lelaki berkenaan terus mendesak dan meninggi suara supaya kenderaan pasangan itu dipindahkan. 

Malah, individu itu turut mengeluarkan kata-kata yang menguris perasaan dengan mempertikaikan kelayakan mangsa untuk memandu kenderaan.

Bagi mengelakkan pertikaian berpanjangan di hadapan orang ramai, wanita berkenaan mengambil tindakan menghubungi balai polis berdekatan. 

Pihak polis yang membuat pengesahan dengan penganjur dimaklumkan bahawa tiada sebarang peraturan seumpama itu pernah dikeluarkan.

Dua anggota polis kemudiannya dikejarkan ke lokasi bagi mengawal situasi dan mengesahkan dokumen serta pelekat OKU milik pasangan berkenaan adalah lengkap dan sah di sisi undang-undang. 

Walaupun selepas diberi penjelasan oleh pihak berkuasa, lelaki terbabit dilaporkan masih enggan mengaku kesilapan mahupun memohon maaf.

Isteri mangsa menegaskan bahawa suaminya berhak menggunakan kemudahan itu kerana penggunaan kaki palsu memerlukan ruang dan usaha fizikal yang besar, selain kerap menyebabkan luka pada anggota badan. 

Beliau berharap masyarakat lebih berempati dan tidak sewenang-wenangnya merendahkan martabat golongan kurang upaya.

+ - reset