TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

“Apabila Najib pulang ke rumah, peletakan jawatan saya berkuat kuasa” – Loke

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Sept - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Bagaimanapun, Loke berkata, Anwar memintanya untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu.

"Buat masa ini, beliau meminta saya untuk terus kekal dalam jawatan buat sementara waktu. Bagaimanapun, surat itu sudah diserahkan kepada beliau.

"Sudah tentu, saya tetap dengan keputusan parti untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri (Pengangkutan). Namun, berhubung tarikh kuat kuasa peletakan jawatan itu, ia akan diputuskan oleh Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Loke, beliau akan terus memegang jawatan berkenaan sehingga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

"Dalam perbincangan itu, beliau menasihati saya untuk meneruskan tugas buat sementara waktu. Beliau akan membuat keputusan, tetapi saya katakan bahawa perlu ada satu tempoh masa.

"Tempoh masa itu ialah apabila Najib pulang ke rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa," katanya.

Loke berkata, pertemuannya dengan Anwar turut membincangkan alasan dan sebab di sebalik keputusan beliau untuk melepaskan jawatan.

"Ini (meletak jawatan) adalah keputusan parti. Keputusan parti dibuat berdasarkan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Najib yang kita tidak setuju.

"Jadi, saya selaku Setiausaha Agung (DAP) meletakkan jawatan untuk menegaskan pendirian parti dalam isu ini," katanya.

Ditanya mengenai individu yang bakal menggantikannya sebagai Menteri Pengangkutan, Loke berkata perkara itu masih belum diputuskan.

"Belum ada (pengganti), saya pun masih bertugas," katanya.

Sebelum ini, Loke mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu susulan isu pengampunan bersyarat Najib.

Bagaimanapun, menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Anwar sebelum ini turut menyatakan beliau tidak mahu terburu-buru membuat keputusan berhubung hasrat Loke untuk melepaskan jawatan.

+ - reset