TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga kapal tentera Myanmar tiba di Lumut, 1,473 tahanan dihantar pulang

By
|
Kongsi
image

MANJUNG 29 Sept - Tiga kapal Tentera Laut Myanmar tiba di perairan negara awal pagi ini bagi membawa pulang 1,473 warganya yang ditahan di Malaysia, dalam fasa pertama program penghantaran pulang secara berperingkat.

Operasi berskala besar itu dilaksanakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut yang juga Markas Pemerintahan Armada Barat.

Tiga kapal berkenaan ialah Landing Platform Dock (LPD) kelas Makassar, UMS Moattama; kapal frigat UMS King Sin Phyu Shin dan kapal hospital UMS Thanlwin.

Difahamkan, operasi berkenaan tidak diuar-uarkan kepada umum bagi mengurangkan risiko sebarang gangguan sepanjang proses penghantaran atas faktor keselamatan.

Ketiga-tiga kapal itu dijangka mula berlayar selepas proses pemindahan semua tahanan selesai sekitar jam 5 petang hari ini.

Kapal berkenaan kemudian akan diiringi tiga bot masing-masing daripada TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin sehingga memasuki perairan antarabangsa.

Tinjauan wartawan yang mengikuti operasi mendapati kumpulan pertama warga Myanmar tiba dengan sekurang-kurangnya lima bas ekspres dua tingkat di pekarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung seawal jam 4 pagi.

Mereka menjalani proses pemeriksaan terlebih dahulu sebelum dipindahkan untuk menaiki kapal.

Warga asing terbabit turut diberikan makanan dan perkhidmatan perubatan asas sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Kesemua mereka sebelum ini ditempatkan di 14 depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara.

Operasi berkenaan membabitkan penugasan kira-kira 819 pegawai dan anggota daripada JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), TLDM serta APMM.

Keadaan di pangkalan tentera dilaporkan tenang dan terkawal sepanjang proses pemindahan berlangsung.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, jumlah tahanan paling ramai adalah dari Depoh Belantik, Kedah iaitu 300 orang, diikuti kira-kira 200 orang dari Depoh Tanah Merah, Kelantan.

Menurutnya, pemindahan itu membabitkan 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

"Kesemuanya berusia lingkungan lapan hingga 60 tahun.Seperti dimaklumkan KDN baru-baru ini, kerajaan mengutamakan program penghantaran pulang secara sukarela melibatkan 5,000 warganegara Myanmar yang layak ke negara asal secara berperingkat.

"Individu yang terlibat untuk proses penghantaran pulang ini dikenal pasti oleh kerajaan Myanmar dan dikemukakan nama-nama berkenaan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos," katanya pada sidang media di atas Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Affendi Ramli dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan dicapai dengan kerajaan Myanmar untuk menghantar pulang 5,000 warga negara itu yang berada di Malaysia.

Anwar berkata, langkah berkenaan adalah antara usaha awal menangani isu terbabit selain memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.

Susulan itu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau akan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia bagi memperkukuh rundingan dua hala, termasuk usaha menyelesaikan isu Rohingya yang berada di negara ini.

Keputusan itu dibuat selepas Malaysia mengambil pendekatan berunding secara langsung dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Sumber : Harian Metro

+ - reset