TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Letak jawatan, Eric See-To tempelak pendirian Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 29 Sept. – Pemerhati politik Eric See-To menyindir tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang didakwa sering berubah pendirian berhubung hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Kenyataan kritikan terbaharu itu disuarakan oleh beliau menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi miliknya hari ini.

Beliau mendakwa pendirian pimpinan DAP berkenaan berhubung peletakan jawatan bertukar-tukar daripada pengumuman awal untuk berundur sehinggalah menjadi satu keputusan bersyarat.

Beliau mempersoalkan tindakan Anthony yang pada mulanya mengumumkan keputusan berundur, kemudian menangguhkannya sehingga pulang dari China, sebelum meletakkan syarat baharu bagi pelaksanaannya.

Menurut Eric, kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Seremban itu memberi gambaran bahawa beliau akan kekal menggalas portfolionya selagi urusan berkaitan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak belum dimuktamadkan.

Beliau mendakwa Anthony tidak akan melepaskan jawatan menteri selagi Prosedur Operasi Standard (SOP) tahanan rumah belum dimuktamadkan dan dana Tabung Najib belum mencecah sasaran RM50 juta.

Sehubungan itu, beliau berseloroh bahawa orang ramai yang mahu melihat peletakan jawatan menteri terbabit perlu meneruskan sumbangan kepada tabung berkenaan.

Terdahulu pada 21 September lalu, Anthony memaklumkan hasrat menawarkan diri melepaskan jawatan dalam kabinet susulan pengumuman berkaitan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri terbabit.

Walau bagaimanapun, beliau dilaporkan menjelaskan bahawa penyerahan surat peletakan jawatan secara rasmi hanya akan dibuat sejurus beliau pulang daripada lawatan kerja di China.

+ - reset