TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suami isteri maut kemalangan langgar lari dengan lori, anak jadi yatim piatu sekelip mata

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun menjadi yatim piatu selepas ibu bapanya terkorban dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah motosikal dan lori di Sepang petang semalam.

Pasangan suami isteri berkenaan yang bertugas sebagai juruteknik perkhidmatan awam berusia 40-an dan pekerja universiti swasta berusia 30-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman memaklumkan bahawa nahas maut berkenaan berlaku di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Dengkil menuju ke Putrajaya kira-kira jam 5 petang.

Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki pasangan terbabit telah merempuh bahagian belakang sebuah lori yang sedang bergerak di laluan berkenaan.

Berdasarkan keterangan saksi awam di lokasi kejadian, pemandu lori terbabit bertindak memecut kenderaannya dan melarikan diri sejurus selepas perlanggaran berlaku.

Norhizam menambah bahawa mangsa lelaki yang menunggang motosikal berkenaan mempunyai lesen memandu yang sah.

Polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian dan sedang giat mengesan pemandu lori terbabit.

Orang ramai atau pengguna jalan raya yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474 atau 03-87774264 bagi membantu siasatan.

— Media Telus

+ - reset