TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sultan Nazrin tegur Melayu, umat Islam kini berdepan 'krisis adab’, maklumat tak sahih disebar, kelemahan orang didedah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Sept - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan masyarakat Melayu dan umat Islam kini berdepan “krisis adab” apabila perbezaan pandangan semakin mudah bertukar menjadi pertikaian dan permusuhan.

Baginda bertitah, keadaan itu turut dapat dilihat menerusi penyebaran maklumat yang tidak disahkan tanpa memikirkan kesannya, selain kelemahan serta kesalahan peribadi seseorang didedahkan kepada umum.

“Masyarakat Melayu dan umat Islam kini berdepan krisis adab,” titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian pada Mesyuarat MKI Kali Ke-75.

Menurut baginda, perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana kemerosotan sesebuah masyarakat sering bermula apabila nilai dan akhlak semakin terhakis.

“Oleh itu, amat penting bagi masyarakat kita dan umat Islam untuk memupuk disiplin mendengar sebelum memberi respons, memahami sebelum membuat penghakiman dan menyemak kesahihan sebelum berkongsi,” titah baginda.

Baginda bertitah, kemampuan menerima perbezaan pandangan tanpa menjadikannya sebagai permusuhan mencerminkan kepentingan syura dan adab dalam kehidupan bermasyarakat.

“Syura membabitkan proses berbincang dan bertukar pandangan sebelum sesuatu keputusan dibuat, manakala adab menuntut seseorang mendengar dengan penuh hormat, mempertimbangkan pandangan berbeza dan berusaha mencapai keputusan yang memberi manfaat kepada kepentingan bersama.

“Kekuatan sebenar tidak lahir daripada keseragaman pandangan. Sebaliknya, ia terletak pada keupayaan kita untuk berbeza pandangan tanpa permusuhan, menegur tanpa mengaibkan serta membuat keputusan bersama dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, adab bukan sekadar berkaitan kesopanan dan budi bahasa, sebaliknya merangkumi hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia, alam semula jadi serta diri sendiri.

Menurut baginda, adab turut menuntut seseorang menghargai ilmu dan memuliakan guru selain menjadi manifestasi ilmu, pelindung kebebasan serta asas keharmonian.

“Apabila adab dipelihara, perbezaan dapat diuruskan. Apabila adab diabaikan, ilmu dan kuasa sekalipun boleh menjadi punca perpecahan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan bahawa syura bukan lesen untuk seseorang bercakap tanpa batasan atau mengetepikan adab.

“Kebebasan bersuara tidak bermaksud kebebasan untuk menghina.

“Perbezaan pendapat bukan alasan untuk menuduh atau merendah-rendahkan orang lain, apatah lagi menghina atau memfitnah mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah, pemimpin juga perlu merendah diri, bersedia mendengar pandangan berbeza, menerima teguran serta mempertimbangkan nasihat dengan hati terbuka.

Menurut Sultan Nazrin, pelaksanaan syura yang disertai adab mampu menghasilkan keputusan yang bijaksana, kepimpinan yang adil serta masyarakat yang lebih matang.

+ - reset