Berita Viral
Minyak, gula bersubsidi dijual meluas di sempadan Thailand raih perhatian ramai
KUALA LUMPUR 2 OKTOBER - Barangan keperluan asas bersubsidi dari Malaysia, khususnya minyak masak peket dan gula, dikesan dijual secara berleluasa di wilayah selatan Thailand, sekali gus mencetuskan kebimbangan serta persoalan dalam warga tempatan mengenai sejauh mana aktiviti penyeludupan barangan kawalan itu membarah di sempadan negara.
Isu berkenaan mula menarik perhatian ramai selepas pengguna media sosial mendedahkan lambakan produk keluaran tempatan yang berada di pasaran negara jiran, terutamanya di pasar-pasar awam dan kedai runcit sekitar Narathiwat.
Seorang pengguna, muhamad_syafiq90 mendedahkan situasi sebenar selepas ahli keluarganya baru pulang dari wilayah berkenaan.
"Ahli keluarga saya baru balik dari Narathiwat. Memang penjualan berleluasa ya. Merata kedai dok ada," katanya menerusi hantaran tersebut.
Pendedahan itu turut disokong oleh seorang lagi warganet, hafeezboh, yang mengakui terkejut apabila mendapati barangan bersubsidi tanah air dipamerkan secara terbuka di premis perniagaan luar negara.
"Masa kami jalan-jalan di pasar Narathiwat, kami terjumpa minyak masak peket buatan Malaysia. Yang ini memang kita eksport secara rasmi atau hasil penyeludupan? Gula Prai pun ada. Ada orang mention baru saya ingat saya ada ambil video," jelasnya lagi.
Percakapan mengenai penyelewengan bahan keperluan asas itu turut membongkar modus operandi sindiket yang didakwa mengedarkan bekalan bersubsidi tersebut bukan sahaja ke Thailand, malah merentasi beberapa negara jiran lain seperti Indonesia, Filipina dan Singapura.
Pengguna, abubakarahmadzaini mendakwa penyelewengan berkenaan melibatkan pelbagai laluan logistik yang kompleks bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
"Minyak masak, gula dan petrol bersubsidi Malaysia ada di empat negara lain iaitu Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura (kecuali petrol). Singapura dan Filipina guna jalan laut, manakala Thailand dan Indonesia menggunakan jalan darat dan laut.
"Thailand, Indonesia dan Singapura menggunakan beberapa kedai yang orang mereka miliki iaitu syarikat alibaba untuk mengumpul bekalan minyak serta gula bersubsidi. Manakala petrol bersubsidi pula, mereka membeli terus daripada lori-lori tangki haram dan diisi dalam tong drum yang besar," dakwanya menerusi ruangan komen.
Sikap tidak bertanggungjawab itu mencetuskan kemarahan netizen memandangkan rakyat di negara ini terpaksa berdepan syarat ketat bagi mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi menerusi pelbagai sistem pendaftaran dan imbasan kod QR.
Salah seorang pengguna, Buntalpiaw, meluahkan rasa kesal atas kesukaran yang dialami pengguna domestik berbanding kemudahan dinikmati pembeli di pasaran seberang.
"Bang, nak beli kat Malaysia pun pakai eCOSS, snap QR, punyalah susah. Kompom itu seludup secara haram punya. Punyalah jahat negara jiran, seludup hasil dari negara lain. Ini macam mana hukumnya ni, contoh orang Islam yang duduk negara jiran berniaga menggunakan barangan seludup untuk hasil pencarian," tegasnya.
Perbezaan harga yang amat ketara dikenal pasti menjadi dorongan utama kepada kegiatan jenayah merentas sempadan ini, memandangkan nilai pasaran tempatan produk berkenaan di Thailand jauh lebih tinggi berbanding kadar subsidi di dalam negara.
Pengguna Klangmari turut berkongsi bukti visual menunjukkan tanda harga minyak masak di sebuah pusat pemborong di Hatyai bagi menjelaskan margin keuntungan lumayan yang diraih penyeludup.
"Ni harga tiga peket minyak mereka kat Makro Hatyai bila ada promo. Memang mahal, sekitar RM6 sepeket. Memang ada motivasi untuk menyeludup minyak murah Malaysia," ulasnya.
Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak agensi penguatkuasaan sempadan meningkatkan kawalan serta tindakan tegas bagi membanteras ketirisan subsidi negara daripada terus dirampas oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Berita berkaitan
October 2, 2026, 5:37 pm
Wanita loya dakwa temui lipas dalam perut sotong nasi kandar
October 2, 2026, 2:06 pm
Penguatkuasa dipercayai 'terima' sesuatu dari orang awam, netizen persoal etika kerja
October 1, 2026, 7:27 pm
Main masuk 'smart lane', penunggang motosikal melambung lepas divider dirempuh Vellfire
October 1, 2026, 6:06 pm
'Rider' maut dipercayai dilenyek lori lepas elak laluan khas motosikal di Plaza Tol Puchong Selatan
October 1, 2026, 1:45 pm
Lelaki kecewa pemandu bas halang guna laluan kecemasan sebab nak jumpa ayah nazak
October 1, 2026, 10:03 am
Warga Pakistan kena tangkap dipercayai minta duit perlindungan pada peniaga kecil
October 1, 2026, 8:36 am
Lori simpan 'stok' makanan kering jadi sarang tikus di RnR Seremban?
September 30, 2026, 7:02 pm
