TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Warga emas dibelasah sampai lunyai gara-gara kemalangan kecil di Kuala Terengganu

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 25 NOVEMBER - Tiga lelaki tempatan ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai menyerang seorang warga emas susulan kemalangan jalan raya di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, kira-kira jam 5 petang pada Isnin. 

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa terlebih dahulu dibelasah bertubi-tubi oleh beberapa individu sebelum dikenakan tindakan siku sehingga rebah, bermula apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza berhenti di bahu jalan berhampiran sebuah premis dan bersemuka dengan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kesemua suspek yang berusia antara 39 hingga 44 tahun itu diberkas petang semalam susulan laporan yang diterima berhubung pergaduhan berpunca daripada pelanggaran dua kenderaan.

"Siasatan awal mendapati sebuah Perodua Alza dipercayai melanggar bahagian belakang kereta jenis Skoda yang dipandu seorang wanita. Susulan kejadian itu, lelaki berusia 62 tahun yang juga suami serta penumpang kenderaan terbabit keluar untuk melihat keadaan kereta, namun diserang individu yang menaiki MPV berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azli, mangsa didakwa dipukul bertalu-talu menggunakan tumbukan, siku dan tendangan sehingga mengalami kecederaan pada bahagian muka, hidung serta mulut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau memaklumkan bahawa penahanan kesemua suspek dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Terengganu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, selain permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Sementara itu, mangsa, Roslan Ngah, 63, yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta bekerja di sebuah syarikat insurans, mendakwa beliau mengalami patah tulang hidung dan keretakan pada kedua-dua rahang akibat dibelasah dalam kejadian tersebut.

Menceritakan detik sebelum kejadian, Roslan berkata, beliau bersama isterinya, Sharifah Anis Syed Mohamad, 37, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir.

"Kereta yang dipandu isteri dilanggar dari belakang ketika cuba membelok ke kiri jalan selepas memberi isyarat. 

"Saya turun daripada kenderaan untuk memeriksa kerosakan dan cuba bertanya kepada seorang daripada lelaki terbabit punca pelanggaran berlaku, namun secara tiba-tiba tiga lelaki termasuk pemandu MPV memaki hamun serta memukul saya bertubi-tubi sebelum menyiku muka saya," ujarnya ketika ditemui di kediamannya.

Tambah Roslan, para penyerang itu beredar dengan menaiki kenderaan mereka selepas menyedari penduduk setempat mula menghampiri kawasan berkenaan, sambil menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang perselisihan faham atau mengenali ketiga-tiga lelaki tersebut sebelum ini.

+ - reset