Berita Berita
37 hari terputus hubungan di Nepal, seorang daripada 55 rakyat Malaysia akhirnya pulang
KUALA LUMPUR 2 Okt – Selepas 37 hari berada dalam senarai individu yang gagal dihubungi susulan tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, seorang daripada 55 rakyat Malaysia akhirnya ditemukan selamat dan sudah kembali ke pangkuan keluarganya.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan terbaharu berkenaan yang diumumkan Kementerian Luar Negeri.
Menurutnya, individu terbabit hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu semalam sebelum disahkan selamat.
"Individu terbabit sudah kembali ke Malaysia pagi ini dan kini bersama keluarganya. Satu keluarga akhirnya menerima semula insan yang mereka sayangi
"Bagi MASFIH dan keluarga, penemuan seorang rakyat Malaysia yang selamat pada Hari ke-37 adalah satu perkembangan yang amat melegakan dan sangat bermakna.
"Setelah 37 hari berada dalam ketidakpastian, sebuah keluarga akhirnya menerima semula insan yang mereka sayangi. Kegembiraan keluarga ini turut dirasai oleh semua keluarga lain yang masih menunggu," katanya dalam kenyataan.
Manivannan yang juga abang kepada Komathi Rethinam yang masih hilang berkata, rakyat Malaysia berbangsa Cina itu melakukan perjalanan secara bersendirian dan merupakan satu-satunya pengembara solo yang kini disahkan selamat daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia.
Katanya, berdasarkan komunikasi langsung MASFIH dengan waris individu berkenaan, pihaknya dimaklumkan beliau berada di Nagthali Viewpoint pada 3.26 petang, 25 Ogos lalu, sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh pada 26 Ogos.
"Menurut maklumat yang disampaikan oleh waris, beliau kemudiannya terkandas untuk suatu tempoh berikutan kemusnahan jalan dan jambatan, di samping ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses Wi-Fi yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi.
"Beliau akhirnya berjaya bergerak dan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober sebelum kembali ke Malaysia pada pagi ini," katanya.
Manivannan berkata, perkembangan itu menunjukkan seseorang mungkin berada dalam keadaan selamat tetapi pada masa sama terputus hubungan dan terkandas untuk tempoh yang panjang.
Menurutnya, penemuan itu turut memberikan harapan besar kepada keluarga 54 rakyat Malaysia lain yang masih menunggu khabar insan tersayang.
"Jika seorang rakyat Malaysia boleh berada dalam keadaan selamat, terkandas dan terputus daripada komunikasi untuk tempoh yang panjang sebelum akhirnya berjaya ditemui dan kembali kepada keluarganya, kami tidak mahu kehilangan harapan terhadap 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
"Kami terus percaya keajaiban boleh berlaku," katanya.
Beliau berkata, perkembangan berkenaan bukan sekadar perubahan angka daripada 55 kepada 54, sebaliknya membabitkan sebuah keluarga yang akhirnya dapat bertemu semula dengan insan tersayang selepas 37 hari berada dalam ketidakpastian.
"Kami berharap kepulangan itu memberi sinar harapan kepada 54 keluarga yang lain, yang mana insan mereka sayangi juga mungkin masih berada di luar sana dan suatu hari nanti dapat kembali kepada pangkuan mereka," katanya.
Sebelum ini, seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga susulan tragedi banjir dahsyat di Rasuwa, Nepal.
Kerajaan Nepal turut mengeluarkan senarai 537 warga asing dari lebih 30 negara yang dilaporkan hilang susulan bencana berkenaan.
Berita berkaitan
October 2, 2026, 6:32 pm
Pemuda PAS pertahan Mohd Shuhaily, mahu isu kebocoran sempadan diberi keutamaan
October 2, 2026, 6:19 pm
Chean Chung tak aktif aktiviti parti sejak lebih setahun lalu - Anwar
October 2, 2026, 5:39 pm
Mulai 5 Oktober, semua perkhidmatan JPJ menerusi MYEG digantung
October 2, 2026, 5:29 pm
Pecutan ‘Pocket Rocketman’ di selekoh terakhir, Azizulhasni hadiah emas kelapan negara
October 2, 2026, 5:14 pm
MSU melonjak ke kelompok 501–550 universiti terbaik dunia, naik tiga tahun berturut-turut
October 2, 2026, 4:50 pm
Video tular tidak harus padam usaha reformasi Shuhaily – Pemuda MCA
October 2, 2026, 3:17 pm
MCMC semak video AI manipulasi detik duka Tun Dr Mahathir, tindakan undang-undang boleh diambil
October 2, 2026, 1:18 pm
Suri rumah didakwa di mahkamah bunuh ibu kandung terlantar di Menglembu
October 2, 2026, 1:13 pm
