Berita Berita
MCMC semak video AI manipulasi detik duka Tun Dr Mahathir, tindakan undang-undang boleh diambil
PUTRAJAYA 2 Okt – Tindakan memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sedang berduka atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini dalam penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius perbuatan memanipulasi rakaman sebenar sehingga berpotensi mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu serta keluarga.
Menurut suruhanjaya itu, perbuatan sedemikian tidak wajar dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan saat kehilangan dan kedukaan seseorang.
“MCMC sudah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan berkenaan.
“Jika hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan dimanipulasi yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi selain melaporkan bahan yang disyaki dimanipulasi kepada platform media sosial atau pihak berkuasa berkaitan.
MCMC menegaskan, perkembangan teknologi AI menawarkan pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai dengan rasa tanggungjawab.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” jelas MCMC.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penyebaran kandungan di media sosial yang didakwa memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir dalam suasana kedukaan selepas kehilangan isterinya.
Tun Dr Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu pada usia 100 tahun.
Berita berkaitan
October 2, 2026, 6:32 pm
Pemuda PAS pertahan Mohd Shuhaily, mahu isu kebocoran sempadan diberi keutamaan
October 2, 2026, 6:19 pm
Chean Chung tak aktif aktiviti parti sejak lebih setahun lalu - Anwar
October 2, 2026, 5:39 pm
Mulai 5 Oktober, semua perkhidmatan JPJ menerusi MYEG digantung
October 2, 2026, 5:29 pm
Pecutan ‘Pocket Rocketman’ di selekoh terakhir, Azizulhasni hadiah emas kelapan negara
October 2, 2026, 5:14 pm
MSU melonjak ke kelompok 501–550 universiti terbaik dunia, naik tiga tahun berturut-turut
October 2, 2026, 4:50 pm
Video tular tidak harus padam usaha reformasi Shuhaily – Pemuda MCA
October 2, 2026, 2:25 pm
37 hari terputus hubungan di Nepal, seorang daripada 55 rakyat Malaysia akhirnya pulang
October 2, 2026, 1:18 pm
Suri rumah didakwa di mahkamah bunuh ibu kandung terlantar di Menglembu
October 2, 2026, 1:13 pm
