TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MSU melonjak ke kelompok 501–550 universiti terbaik dunia, naik tiga tahun berturut-turut

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 2 Okt – Management and Science University (MSU) mencatat peningkatan kedudukan bagi tahun ketiga berturut-turut apabila melonjak ke kelompok 501–550 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings (WUR) 2027.

Pencapaian terbaharu itu meneruskan peningkatan MSU selepas berada dalam kelompok 801–1,000 dunia pada 2025 sebelum melonjak ke kelompok 601–800 pada 2026.

THE WUR 2027 menilai sebanyak 2,297 institusi pendidikan tinggi dari 118 negara berdasarkan lima indikator utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.

Di Malaysia, MSU menduduki tempat kesembilan daripada 32 institusi pendidikan tinggi yang dinilai, manakala dalam kalangan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), universiti itu berada di tempat ketiga.

MSU turut mencatat prestasi menonjol bagi indikator Pandangan Antarabangsa apabila berada di kedudukan ke-45 dunia dengan skor 94.3 peratus.

Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan universiti berkenaan dalam memperkukuh kedudukannya di peringkat global.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan MSU dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan, penyelidikan berimpak, inovasi serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), sekali gus menghasilkan impak bermakna yang melangkaui universiti dan menyumbang kepada masyarakat serta komuniti global,” katanya.

Dalam kedudukan di Malaysia, MSU berada di tempat ketiga bagi indikator Pandangan Antarabangsa, keenam bagi Kualiti Penyelidikan dan kesembilan bagi Pengajaran.

Universiti itu merekodkan skor 70.2 peratus bagi indikator Kualiti Penyelidikan.

Peningkatan dalam THE WUR 2027 turut meneruskan momentum pencapaian MSU dalam agenda kelestarian global selepas universiti itu berada di kedudukan ke-88 dunia dalam THE Sustainability Impact Rankings 2026.

Pada masa sama, MSU terus memperluas strategi pengantarabangsaannya menerusi kerjasama dengan lebih 350 universiti dan institusi di seluruh dunia.

Kerjasama berkenaan membuka peluang kepada pelajar dan staf mengikuti pelbagai program mobiliti antarabangsa, latihan industri serta penyelidikan bersama.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).

Usaha itu turut disokong Yayasan MSU menerusi Scholarship for Mobility and International Learning Experiences (SMILE) bagi memperluas akses pelajar kepada pengalaman pembelajaran dan pendedahan antarabangsa.

Ketika ini, komuniti pelajar antarabangsa MSU terdiri daripada pelajar dari 82 negara termasuk United Kingdom, Türkiye, China, Arab Saudi, Mesir, Indonesia, Sri Lanka, Brunei, Maldives, Oman, Perancis, Yemen, Myanmar, Nigeria, Sudan, Botswana, India, Comoros, Iran dan Libya.

MSU juga menjalinkan kolaborasi strategik dengan lebih 3,000 rakan industri di dalam dan luar negara menerusi pendekatan industry talent embedded ecosystem.

Pendekatan itu memberi peluang kepada pelajar memperoleh pendedahan industri, pengalaman global dan kemahiran relevan sebagai persediaan menghadapi pasaran pekerjaan antarabangsa.

Selain pengantarabangsaan dan kerjasama industri, MSU turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi agenda kebolehpasaran graduan, keusahawanan, penglibatan komuniti, penyelidikan, pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel.

Seiring aspirasi Malaysia menjadi hab pendidikan antarabangsa, MSU menyatakan komitmen untuk terus memperluas jaringan global serta melahirkan graduan yang mampu bersaing dan memimpin di peringkat antarabangsa.

+ - reset