TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Pemandu F1 Valtteri Bottas kayuh basikal lebih 350km dari Sepang ke Singapura

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 6 Oct. – Pemandu Formula 1 (F1), Valtteri Bottas menarik perhatian peminat sukan permotoran apabila memilih untuk mengayuh basikal sejauh lebih 350 kilometer merentasi Malaysia menuju ke Singapura bagi menyertai perlumbaan Grand Prix seterusnya.

Ketika majoriti pemandu lain memilih untuk menaiki jet peribadi, pelumba pasukan Cadillac Formula 1 dari Finland itu memulakan kayuhan secara solo sejurus selepas tamat perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad.

Pemandu veteran berusia 37 tahun berkenaan memilih laluan mencabar dengan melalui jalan luar bandar, merentasi kawasan ladang kelapa sawit, serta laluan tanah merah.

Pengembaraan merentas desa itu bermula hanya beberapa jam selepas kenderaan yang dipandunya terbabas pada Pusingan 7 dalam perlumbaan sengit Grand Prix Malaysia pada 4 Oktober lalu.

Pelumba yang memenangi 10 perlumbaan F1 dan juga merupakan pengayuh basikal tegar itu berkongsi pelbagai paparan video serta foto perjalanannya menerusi akaun media sosial rasminya.

Beliau memaklumkan menerusi satu hantaran pada Selasa bahawa beliau sengaja memilih laluan berbatu yang kurang dilalui walaupun jaraknya agak jauh dan mengambil masa lebih lama.

Bottas turut berkongsi rakaman beliau meneruskan kayuhan pada waktu malam di kawasan laluan terpencil dengan hanya berpandukan lampu suluh yang dipasang pada topi keledarnya.

Laluan kayuhan beliau dilaporkan melepasi kawasan perkampungan, ladang kelapa sawit, dan telah merentasi negeri Melaka sebelum meneruskan perjalanan ke selatan tanah air.

Bagi hari kedua perjalanannya, beliau mengemaskini catatan kayuhan dengan merekodkan jarak sejauh 161.9 kilometer yang ditempuh dalam tempoh lima jam 46 minit.

Catatan itu menambah jarak kayuhan hari pertama beliau yang merekodkan sejauh 56.6 kilometer dalam tempoh dua jam lapan minit.

Beberapa pemandu kenderaan tempatan turut berkongsi video dalam media sosial yang memaparkan kelibat Bottas sedang mengayuh basikal di sebelah kenderaan mereka di jalan awam.

Bottas dijangka mengambil masa selama tiga hari untuk sampai ke Singapura bagi memastikan beliau sempat menghadiri komitmen media F1 pada Khamis.

Dalam perlumbaan di Sepang pada Ahad, kenderaan beliau tersasar ke kawasan laluan berbatu selepas mengambil risiko menggunakan tayar licin di atas litar yang basah sehingga menyebabkan kereta keselamatan dikeluarkan.

Bottas yang sering dilihat mengayuh basikal ke litar perlumbaan di seluruh dunia kerap menyertai pelbagai kejohanan kayuhan antarabangsa bersama pasangannya, Tiffany Cromwell yang merupakan pelumba basikal profesional Australia.

Beliau sebelum ini pernah layak ke Kejohanan Dunia Gravel selepas menduduki tempat kelima dalam kumpulan umurnya pada kejohanan kelayakan di Republik Czech sewaktu cuti musim panas F1.

Bagaimanapun, Bottas terpaksa melepaskan penyertaan dalam Kejohanan Dunia Gravel minggu ini berikutan pertindihan jadual dengan perlumbaan Grand Prix Singapura.

+ - reset