Berita Berita
Pemandu mabuk bakal diwajibkan bayar ganti rugi kepada mangsa, waris - Anthony Loke
KUALA LUMPUR 7 Okt – Pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan atau kematian mungkin diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa atau waris sebagai tambahan kepada hukuman penjara dan denda sedia ada.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan secara dasarnya bersetuju memasukkan mekanisme pampasan atau ganti rugi itu dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja berdepan hukuman jenayah dan kehilangan kelayakan memandu, malah bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung mangsa atau keluarga mereka.
Katanya, mekanisme terperinci termasuk bentuk pampasan, kaedah penilaian serta pelaksanaannya kini sedang diperhalusi sebelum cadangan pindaan dibentangkan di Parlimen.
“Pada masa ini, Seksyen 44 Akta 333 memperuntukkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.
“Akta ini juga mengawal kesalahan berkaitan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan melalui Seksyen 45A serta peruntukan berkaitan ujian nafas dan spesimen.
“Namun demikian, kerajaan berpandangan selain hukuman punitif, strategi yang dilaksanakan perlu merangkumi pencegahan, penguatkuasaan, pendidikan dan kawalan terhadap pemandu berisiko tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai cadangan mewajibkan pampasan daripada pemandu mabuk kepada mangsa atau waris yang terkesan akibat kecederaan parah atau kematian.
Loke berkata, kerajaan memandang serius kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.
Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menjalankan operasi bersasar termasuk pemeriksaan pengambilan alkohol di lokasi serta waktu berisiko tinggi.
“Daripada aspek pencegahan pula, pendidikan dan advokasi mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah terus diperkukuh, termasuk penekanan bahawa pengguna perlu memilih alternatif perjalanan yang selamat sekiranya tidak berada dalam keadaan sesuai untuk memandu.
“Kerajaan juga sedang meneliti pengukuhan sistem mata demerit dan tindakan terhadap lesen memandu pesalah berulang, selaras dengan keputusan dasar yang sudah dibuat bagi memperkukuh keseluruhan kerangka tindakan terhadap kesalahan berisiko tinggi,” katanya.
Menurut Loke, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol ketika ini dibawa terus ke mahkamah dan tidak termasuk dalam senarai kesalahan yang dikenakan mata demerit.
Katanya, pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan tindakan terhadap pemandu mabuk bukan sahaja memberi hukuman kepada pesalah, malah menyediakan perlindungan dan pembelaan lebih baik kepada mangsa serta waris.
Berita berkaitan
October 7, 2026, 12:24 pm
Enam daerah baharu diiktiraf daerah menua di Malaysia bagi tahun 2026
October 7, 2026, 12:18 pm
El Nino dijangka capai tahap sangat kuat, risiko cuaca panas dan jerebu meningkat
October 7, 2026, 12:12 pm
73,488 kanak-kanak enam tahun mendaftar Tahun 1 bagi sesi 2027, rendah berbanding anggaran asal
October 7, 2026, 12:03 pm
Gelandangan OKU penglihatan mengaku guna wang sedekah beli dadah elak tekanan
October 7, 2026, 11:59 am
DBKL peruntuk RM2.24 juta naik taraf kemudahan PPR Wangsa Sari
October 7, 2026, 11:50 am
Isu penerokaan tanah HSK Tasek Bera kecoh, lelaki ditumbuk dan penguat kuasa diugut
October 7, 2026, 10:50 am
Wanita dibunuh teman lelaki sah pelajar POLISAS, pihak kolej minta orang ramai henti spekulasi
October 7, 2026, 10:45 am
Hilang malam tadi, lelaki ditemukan selamat di kaki Gunung Baling awal pagi ini
October 7, 2026, 9:54 am
