TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hilang malam tadi, lelaki ditemukan selamat di kaki Gunung Baling awal pagi ini

By
|
Kongsi
image

BALING 7 Okt – Seorang lelaki berusia 31 tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Lubuk Pedati, di sini, malam tadi ditemukan selamat di kaki Gunung Baling awal pagi ini.

Mangsa ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 1.15 pagi, hanya sekitar 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas mencari orang hilang pada jam 9.37 malam.

Beliau yang mengetuai operasi bersama lapan anggota kemudian tiba di lokasi tidak lama selepas menerima panggilan.

“Operasi pencarian pada mulanya ditangguhkan pada jam 10.55 malam atas arahan polis disebabkan faktor keselamatan termasuk keadaan gelap dan licin.

“Berdasarkan maklumat awam, lelaki itu berada di Lubuk Pedati menuju ke kaki gunung dengan menggunakan laluan jambatan gantung di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Zulkhairi, operasi mencari dan menyelamat membabitkan 10 anggota polis, lapan anggota bomba, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 20 orang awam dan malim gunung.

Mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung di kaki Gunung Baling.

 

+ - reset