TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL peruntuk RM2.24 juta naik taraf kemudahan PPR Wangsa Sari

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 7 Okt. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.24 juta bagi membiayai projek penambahbaikan kemudahan serta kerja penyenggaraan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari.

Peruntukan berkenaan merangkumi pelaksanaan pelbagai perkhidmatan fizikal dan perbaikan prasarana utama demi keselesaan penduduk setempat.

Projek penambahbaikan terbabit merangkumi kerja mengecat semula bangunan kediaman dengan perbelanjaan bernilai RM1.1 juta.

Sebanyak RM904,000 pula diperuntukkan bagi kerja penggantian kabel sub-utama serta papan suis utama elektrik di kompleks perumahan berkenaan.

Kerja penurapan semula jalan raya di sekitar kawasan perumahan mendapat peruntukan sebanyak RM136,000 manakala penambahbaikan sistem keselamatan kebakaran menerima RM101,000.

DBKL turut membiayai pembinaan sebuah jambatan pejalan kaki baharu dengan kos pembinaan bernilai RM200,000.

Jambatan sepanjang 18 meter dengan laluan selebar dua meter itu dibina bagi merentasi kawasan perumahan terus ke padang awam Wangsa Sari.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud memaklumkan bahawa projek pembinaan jambatan berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

Laluan baharu terbabit bakal menyediakan akses yang lebih selamat dan mudah kepada komuniti tanpa perlu lagi berjalan di sepanjang bahu jalan utama di Jalan 2/27A.

Projek penambahbaikan menyeluruh berkenaan dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 1,061 penduduk di PPR berkenaan.

Hadir sama dalam sidang media di PPR Wangsa Sari ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

+ - reset