Berita Berita
El Nino dijangka capai tahap sangat kuat, risiko cuaca panas dan jerebu meningkat
KUALA LUMPUR, 7 Okt. – Fenomena El Nino dijangka berlarutan sehingga pertengahan tahun depan dan berpotensi mencapai tahap sangat kuat bermula bulan ini hingga Januari depan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan bahawa keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko cuaca lebih panas dan kering serta kejadian pembakaran terbuka yang boleh memicu jerebu.
Analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan El Nino menyebabkan taburan hujan lebih rendah daripada kebiasaan.
Situasi berkenaan sekali gus meningkatkan risiko pembakaran terbuka terutamanya di kawasan tanah gambut, hutan, belukar, dan tapak pelupusan sampah.
Kenyataan terbabit disiarkan menerusi jawapan bertulis di portal rasmi Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Kelvin meminta penjelasan berhubung kesiapsiagaan negara menghadapi impak El Nino serta pendirian kerajaan berkaitan gubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
Arthur mendedahkan sebanyak lapan siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) telah dilaksanakan di seluruh negara antara 30 Ogos hingga 3 Oktober lalu bagi mengurangkan impak krisis berkenaan.
Operasi bersepadu terbabit dijayakan menerusi kerjasama MetMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pelaksanaan OPA yang memfokuskan kawasan utara, tengah, selatan Semenanjung, serta Sarawak itu berjaya menghasilkan hujan di beberapa lokasi sasaran.
Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) sejak 15 Februari lalu.
Prosedur Tetap Operasi (PTO) bagi Pelaksanaan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut turut dikuatkuasakan pada 26 Februari 2026 sebagai langkah pencegahan domestik.
Mengulas mengenai cadangan penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, Arthur menjelaskan bahawa penelitian mendalam telah dibuat dari pelbagai sudut perundangan dan hubungan diplomatik.
Kementerian mendapati kewujudan akta baharu berdepan cabaran besar dari segi keupayaan mengumpul bukti serta menguatkuasakan undang-undang ke atas entiti di luar bidang kuasa negara.
Pengalaman negara jiran ASEAN membuktikan bahawa pelaksanaan undang-undang bersifat merentas sempadan berdepan kekangan penguatkuasaan yang amat kompleks.
Kerajaan berpendirian pendekatan lebih efektif pada masa ini ialah memperkukuh perundangan domestik, meningkatkan perkongsian maklumat, serta memantapkan komitmen di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
Berita berkaitan
October 7, 2026, 1:01 pm
PRN Melaka ditetapkan 14 November, penamaan calon 31 Oktober
October 7, 2026, 12:24 pm
Enam daerah baharu diiktiraf daerah menua di Malaysia bagi tahun 2026
October 7, 2026, 12:12 pm
73,488 kanak-kanak enam tahun mendaftar Tahun 1 bagi sesi 2027, rendah berbanding anggaran asal
October 7, 2026, 12:03 pm
Gelandangan OKU penglihatan mengaku guna wang sedekah beli dadah elak tekanan
October 7, 2026, 11:59 am
DBKL peruntuk RM2.24 juta naik taraf kemudahan PPR Wangsa Sari
October 7, 2026, 11:50 am
Isu penerokaan tanah HSK Tasek Bera kecoh, lelaki ditumbuk dan penguat kuasa diugut
October 7, 2026, 11:42 am
Pemandu mabuk bakal diwajibkan bayar ganti rugi kepada mangsa, waris - Anthony Loke
October 7, 2026, 10:50 am
Wanita dibunuh teman lelaki sah pelajar POLISAS, pihak kolej minta orang ramai henti spekulasi
October 7, 2026, 10:45 am
