TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Bagai masuk alam bunian', Rapid KL berseloroh 'next station' MRT di Gunung Jerai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 OKTOBER  – Suasana jerebu tebal yang menyelubungi ibu kota bukan sahaja mencetuskan kebimbangan awam, malah turut mencuit hati netizen apabila tren Transit Aliran Deras (MRT) kelihatan seolah-olah "menghilang" ke dimensi lain.   

Pemandangan unik yang dirakam seorang pengguna media sosial itu menunjukkan sebuah tren MRT perlahan-lahan meluncur masuk ke dalam kabus putih yang tebal di atas trek bertingkat. 

Visual misteri berkenaan menarik perhatian ramai sehingga ada yang menyamakannya seperti babak filem fantasi.   

Akaun Threads @syafaadlin yang memuat naik rakaman itu turut meninggalkan kapsyen berseloroh mengenai situasi luar biasa itu.   

"MRT itu macam masuk alam lain weyh," tulisnya ringkas bagi menggambarkan pemandangan yang diselimuti jerebu berkenaan.   

Rakaman tular itu kemudiannya mendapat maklum balas mesra daripada pengendali perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan, Rapid KL. 

Menerusi hantaran balas, syarikat pengangkutan tersebut turut menyertai jenaka netizen dengan membuat pengumuman fiksyen.   

"Stesen seterusnya, Gunung Jerai," seloroh akaun rasmi @myrapidkl menerusi hantaran yang kini meraih puluhan ribu tanda suka.   

Sifat humor yang ditunjukkan itu mengundang pelbagai reaksi lucu daripada netizen yang rata-ratanya menyifatkan laluan berkenaan seperti perjalanan menuju ke dimensi mistik atau alam bunian. 

Walaupun keadaan udara yang buruk mengganggu penglihatan harian, gelagat netizen dan maklum balas santai penyedia perkhidmatan itu sekurang-kurangnya berhasil menceriakan suasana di media sosial. 

+ - reset