TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Pernah ledak 7 gol lawan Arab Saudi, kini Lim You kembali pamer jaringan padu kaki kiri

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 OKTOBER - Skuad remaja wanita Bawah 17 Tahun (B-17) negara semakin hampir melayakkan diri ke Piala Asia Wanita B-17 selepas membelasah Iraq 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan E kelayakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Takayoshi Ishihara mengekalkan rekod sempurna dengan dua kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Syria 1-0 dalam aksi pembukaan.

Malaysia bermula agresif dengan menguasai permainan sebelum Aisyah Nur Iman Mohd Fuad membuka tirai jaringan pada minit ke-19 hasil sepakan sudut Nissriena Batrissya Mohd Azhar.

Gol pembukaan itu menyemarakkan semangat Malayan Tigress untuk terus menggandakan asakan, namun beberapa percubaan berjaya dinafikan penjaga gol Iraq, Asmaa Shivan.

Skuad negara akhirnya menggandakan kelebihan menerusi Qaseh Riana Mohd Rafiuddin yang menyempurnakan hantaran tepat Lim You untuk mendahului 2-0 sebelum tamat babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Malaysia terus memperkemas jentera serangan dengan beberapa pertukaran pemain, termasuk kemasukan Keisha Adeliena Muhammad Khalid.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Lim You meledak gol ketiga pada minit ke-58 menerusi sepakan lambung yang gagal diselamatkan Asmaa.

Malayan Tigress terus mendominasi permainan sebelum pemain gantian, Aisha Lynn Mohamad Faris melengkapkan kemenangan bergaya menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-88.

Keputusan 4-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Malaysia mengumpul enam mata daripada dua perlawanan.

Skuad negara kini bakal berdepan ujian getir menentang India dalam aksi terakhir kumpulan selepas pasukan itu sebelum ini membelasah Iraq 14-0 dan menewaskan Syria 2-0.

Pertemuan berkenaan dijangka menjadi penentu penting dalam usaha Malayan Tigress merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17.

+ - reset