Berita Politik
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
KUALA LUMPUR 17 OKTOBER - PAS menerima hakikat bahawa Barisan Nasional (BN) akan terus menerajui Melaka dalam kerangka kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 14 November depan.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mengiktiraf kedudukan BN sebagai peneraju pentadbiran negeri itu, selain berusaha meneruskan kerjasama politik yang terjalin antara kedua-dua pihak.
"Untuk maklumat awal, kita terima hakikat Melaka dipimpin oleh Barisan Nasional," katanya pada sidang media sempena International Summit 2026 di Kuala Terengganu, semalam.
Mengulas persiapan pilihan raya itu, Abdul Hadi memaklumkan sebahagian besar rundingan berkaitan pembahagian kerusi sudah selesai, namun keputusan mengenai calon yang bakal bertanding masih belum dimuktamadkan.
Menurutnya, Pas mempunyai senarai calon yang perlu melalui proses kelulusan Majlis Syura Ulama sebelum keputusan akhir dibuat oleh kepimpinan Pas Pusat.
"Sebahagian besar sudah selesai dibincangkan. Tinggal tunggu masa dan kita ada senarai calon-calon yang mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dan siapa yang bertanding akan ditentukan oleh Pas Pusat," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi turut mengesahkan belum ada sebarang keputusan mengenai kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang kini disandang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau menjawab ringkas, "Itu belum diputuskan lagi," ketika ditanya sama ada Pas akan bertanding di kerusi berkenaan sekiranya Muhamad Akmal tidak mempertahankannya.
Media sebelum ini melaporkan Muhamad Akmal memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Merlimau pada PRN kali ini, selain timbul dakwaan kerusi berkenaan bakal diberikan kepada Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail.
Sementara itu, menyentuh penggunaan lambang pilihan raya, Abdul Hadi berkata Pas tidak berdepan masalah untuk menggunakan simbol sendiri sekiranya lambang Perikatan Nasional (PN) tidak dapat digunakan.
Beliau menjelaskan, penggunaan lambang berkenaan bergantung kepada keputusan mahkamah, namun Pas mempunyai pilihan untuk bertanding menggunakan simbol bulan.
"Rasa-rasa saya simbol semua orang kenal dan tidak menjadi masalah. Simbol Pas orang kenal, simbol PN pun orang kenal. Apalagi kita bergantung kepada pengundi-pengundi muda dan pengundi baharu," katanya.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa Pas akan terus berusaha mengekalkan kerjasama politik dengan BN, termasuk dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Berita berkaitan
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
PH muktamad tidak bekerjasama dengan BN bagi PRN Melaka
September 24, 2026, 9:52 am
Notis pembatalan RoS: PAS teguh berdiri bersama parti komponen pertahan PN
September 23, 2026, 8:45 pm
PN terima notis tunjuk sebab pembatalan pendaftaran daripada RoS
September 23, 2026, 8:41 pm
BN akan umum kerjasama politik hadapi PRN Melaka Ke-16 dalam masa terdekat
September 20, 2026, 2:49 pm
