TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka

By
|
Kongsi
image

MELAKA, 7 Okt. – PAS Melaka menafikan sekeras-kerasnya kesahihan senarai nama calon bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tular di platform media sosial berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Badan perhubungan negeri berkenaan dalam satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa maklumat yang disebarkan itu bukan daripada saluran rasmi parti.

Penyebaran maklumat yang tidak sah berkenaan dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan serta spekulasi dalam kalangan ahli parti dan orang ramai.

Sementara itu, bekas calon DUN Bukit Katil, Mohammad Al Hafiz Yahya mengesahkan beliau tidak mempunyai maklumat berhubung sumber asal senarai yang tular berkenaan.

Al Hafiz menjelaskan bahawa sebarang ketetapan akhir mengenai senarai calon tertakluk sepenuhnya kepada keputusan dan pengumuman rasmi daripada PAS Pusat.

Beliau enggan mendahului sebarang keputusan kepimpinan tertinggi parti berhubung pencalonan PRN Melaka.

Terdahulu, satu hantaran di media sosial Facebook menjadi tular dengan memaparkan senarai individu yang didakwa bakal dicalonkan PAS di empat kawasan DUN.

Hantaran berkenaan mendakwa Zulhilmi Suboh atau Nor Faizal Nordin dicalonkan bertanding di DUN Bemban manakala Al Hafiz Yahya bagi DUN Bukit Katil.

Senarai tular itu turut meletakkan calon daripada Dewan Pemuda PAS Melaka bagi DUN Ayer Keroh serta Bakri Jamaluddin untuk kerusi DUN Paya Rumput. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset