Berita Politik
PRN Melaka: Calon PH tak takut Ab Rauf di DUN Tanjung Bidara
ALOR GAJAH 31 OKTOBER - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Mohd Yunazri Mustamiri mengakui penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah menjaga kawasan berkenaan dengan baik.
Yunazri, 36, berkata beliau tidak menafikan rekod perkhidmatan Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka, namun pengundi perlu diberikan pilihan untuk menentukan wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
“Isu setempat sebenarnya agak sukar kerana ini kawasan yang dijaga dengan baik oleh penyandang. Saya melihat beliau memang menjaga kawasan ini.
“Bagaimanapun, kita tidak tahu apa sebenarnya yang dikehendaki pengundi. Kita memberikan mereka pilihan untuk menentukan siapa yang mereka rasa sesuai serta dasar mana yang mahu mereka ikuti,” katanya ketika ditemui selepas Penamaan Calon di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, di sini pada Sabtu.
Mengulas persediaan berdepan Ab Rauf, Yunazri berkata beliau tidak berasa gentar meskipun menyedari kedudukannya sebagai calon baharu yang pertama kali menyertai pilihan raya.
Timbalan Bendahari AMK Negeri Melaka itu menambah, sokongan daripada Presiden parti, barisan pimpinan serta jentera PH menjadi antara kekuatan untuk menggerakkan kempen di kawasan berkenaan.
“Setakat ini, saya tidak berasa gentar. Sokongan daripada presiden, pimpinan parti dan barisan kepimpinan kami juga agak kuat untuk membantu kempen di Tanjung Bidara,” ujarnya.
Mengakui dirinya sebagai calon 'underdog', jurutera pembuatan automotif itu tetap optimis untuk memberikan saingan kepada Ab Rauf dan tidak menganggap peluang itu sebagai sesuatu yang mustahil.
“Insya-Allah, kita tidak tahu rezeki, tidak tahu. Hati manusia juga milik Tuhan dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Jadi, kita hanya perlu berusaha.
“Di atas kertas, kita nampak agak sukar, tetapi perkara ini bukan mustahil. Apa yang perlu kami lakukan ialah berusaha bersungguh-sungguh sepanjang tempoh kempen dan meraikan demokrasi,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas tawaran kepada pengundi sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, Yunazri berkata antara fokusnya ialah membawa pelaksanaan dasar Kerajaan Persekutuan termasuk inisiatif Kampung Digital.
Selain itu, beliau akan memastikan anak tempatan memperoleh 30 peratus daripada projek yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita juga akan memberi peluang sebanyak 30 peratus daripada projek-projek pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada anak-anak tempatan. Selain itu, terdapat banyak lagi tawaran dalam manifesto kami,” katanya.
Ujarnya, tawaran berkenaan bukan hanya tertumpu kepada golongan belia, sebaliknya merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk anak muda.
Kerusi DUN Tanjung Bidara menyaksikan saingan satu lawan satu antara Yunazri dan Ab Rauf yang merupakan calon BN, dan Pengerusi BN Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16.
Berita berkaitan
October 31, 2026, 5:45 pm
PH, BERSATU belum bincang kerjasama pilihan raya
October 31, 2026, 3:03 pm
PRN Melaka: Pimpinan bakal putuskan 'poster boy' PH - Fahmi
October 31, 2026, 11:27 am
BN-PN mantapkan gerak kerja bersama hadapi PRN Melaka
October 31, 2026, 10:49 am
Semangat 'Muafakat Melaka' kukuhkan hubungan PN dan BN Menjelang PRN
October 31, 2026, 10:10 am
PRN Melaka: Adly Zahari pertahan Bukit Katil, diiringi Mat Sabu
October 31, 2026, 9:42 am
PRN Melaka: Gelombang biru iringi Dr. Akmal ke Pusat Penamaan Calon DUN Merlimau
October 30, 2026, 3:04 pm
'Jangan undi kalau saya tak perform' - Akmal Saleh
October 30, 2026, 10:14 am
Dominic Lau dakwa penggantungan PN agenda PH elak persaingan PRN Melaka
October 29, 2026, 8:39 am
