Berita Politik
PH, BERSATU belum bincang kerjasama pilihan raya
KUALA LUMPUR 31 OKTOBER – Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahkan tiada sebarang perbincangan diadakan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama pilihan raya yang lebih luas susulan pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) oleh 13 Ahli Parlimen pembangkang.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perjanjian berkenaan bersifat khusus bagi penggal Parlimen semasa sahaja dan langsung tidak membabitkan sebarang komitmen politik mahupun pilihan raya pada masa hadapan.
"Tiada perbincangan mengenai perkara itu," katanya ringkas bagi menepis spekulasi sama ada CSA berkenaan mampu membuka ruang kepada jalinan politik yang lebih erat antara kedua-dua pihak.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi meyakinkan bahawa skop perjanjian tersebut terhad kepada kestabilan Parlimen sedia ada.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang keperluan atau paksaan untuk Ahli Parlimen terbabit memberikan sokongan politik melangkaui penggal ini.
"Buat masa ini, mana-mana Ahli Parlimen yang ingin menandatangani memorandum persefahaman atau CSA boleh berbuat demikian.
"Tiada keperluan untuk memberikan sebarang sokongan pada masa depan. Perjanjian ini hanya untuk penggal Parlimen semasa dan tiada perbincangan lanjut mengenainya," ujar beliau.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju dan tumpuan gabungan itu, Fahmi memaklumkan bahawa kepimpinan PH mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum pernah membuka ruang dialog berhubung agenda kerjasama tersebut.
"Buat masa ini, Pakatan Harapan, dan khususnya Keadilan, belum membincangkan perkara itu. Kami memberi tumpuan kepada pilihan raya Melaka dan akan mengambilnya satu demi satu," jelasnya ketika ditemui selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan Wartawan Yayasan CVSKL, di sini.
Pemeteraian CSA oleh 13 Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini disambut positif oleh pihak kerajaan sebagai satu langkah ke arah menjamin kestabilan politik negara.
Langkah berkenaan melibatkan enam Ahli Parlimen BERSATU, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta enam Ahli Parlimen BEBAS yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara pemimpin BERSATU yang terlibat termasuk Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin; Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan; dan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.
Manakala barisan Ahli Parlimen BEBAS pula terdiri daripada Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), serta Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Berita berkaitan
October 31, 2026, 3:03 pm
PRN Melaka: Pimpinan bakal putuskan 'poster boy' PH - Fahmi
October 31, 2026, 2:59 pm
PRN Melaka: Calon PH tak takut Ab Rauf di DUN Tanjung Bidara
October 31, 2026, 11:27 am
BN-PN mantapkan gerak kerja bersama hadapi PRN Melaka
October 31, 2026, 10:49 am
Semangat 'Muafakat Melaka' kukuhkan hubungan PN dan BN Menjelang PRN
October 31, 2026, 10:10 am
PRN Melaka: Adly Zahari pertahan Bukit Katil, diiringi Mat Sabu
October 31, 2026, 9:42 am
PRN Melaka: Gelombang biru iringi Dr. Akmal ke Pusat Penamaan Calon DUN Merlimau
October 30, 2026, 3:04 pm
'Jangan undi kalau saya tak perform' - Akmal Saleh
October 30, 2026, 10:14 am
Dominic Lau dakwa penggantungan PN agenda PH elak persaingan PRN Melaka
October 29, 2026, 8:39 am
