Berita Berita
Anwar minta rakyat jangan pandang ringan negara luar nasihat penduduk simpan bekalan makanan hingga 10 hari – Anwar
KUALA LUMPUR 3 Nov – Beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun mula menasihatkan rakyat masing-masing supaya menyediakan bekalan makanan untuk tempoh antara tiga hingga 10 hari susulan ketidaktentuan situasi keselamatan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu perlu diberikan perhatian serius kerana mencerminkan peningkatan ancaman keselamatan global yang berpotensi menjejaskan kehidupan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara.
Menurutnya, kerajaan Malaysia sedang memantau rapat perkembangan berkenaan, termasuk ancaman serangan siber yang semakin membimbangkan sehingga mengganggu infrastruktur digital dan sistem pentadbiran beberapa negara.
“Di Belgium, serangan siber memaksa Kementerian Kewangan menutup sepenuhnya portal cukai nasional.
“Di Denmark, penggodam menceroboh daftar penduduk pusat dan menjejaskan rekod ID nasional hampir sembilan juta orang.
“Di Amerika Syarikat, sistem pemfailan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan terhenti selama 41 jam tepat sebelum pengundian Dewan Senat.
“Di Jepun, pencerobohan siber menembusi rangkaian kerajaan dan mendedahkan rekod peribadi lebih daripada 100,000 anggota polis, menyebabkan pelaksanaan tugas polis di beberapa daerah terjejas,” katanya ketika menyampaikan kenyataan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar berkata, kerajaan turut mengambil kira perkembangan konflik di Asia Barat, ancaman keselamatan di Laut Merah serta ketegangan di Eropah yang boleh memberikan kesan kepada Malaysia.
Sehubungan itu, satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) diadakan pada Isnin bagi meneliti tahap kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang kemungkinan.
Antara perkara yang diberikan penekanan ialah memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur penting negara, khususnya sektor tenaga, kewangan dan bekalan makanan.
Kerajaan juga akan meningkatkan penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan selain memperkukuh keupayaan teknologi bagi menangani ancaman siber.
Anwar turut memaklumkan Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat bersama jabatan berkaitan pada Selasa, manakala Gabenor Bank Negara Malaysia akan mengadakan sesi khas bersama institusi kewangan.
Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Anwar berkata Malaysia turut berpotensi menjadi sasaran ancaman keselamatan berikutan kekuatan negara dalam sektor digital dan pusat data.
“Walaupun tidak semua maklumat boleh didedahkan tetapi Malaysia tentunya di antara yang dianggap menjadi sasaran kerana kekuatan kita dalam soal digital dan pusat data.
“Kedua kerana pendirian kita yang agak tegas dalam beberapa isu yang dianggap kontroversial di sesetengah negara termasuk di AS dan Eropah terutama soal Palestin,” katanya.
Anwar turut mencadangkan taklimat khas secara tertutup oleh Ketua Pengarah MKN kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu atau dua hari bagi menjelaskan perkembangan ancaman keselamatan terkini.
“Saya percaya perkara ini agak penting kerana daripada maklumat yang diperolehi petang semalam dan juga pagi tadi dari Menteri Dalam Negeri. Hal ini jangan kita pandang ringan.
“Jadi saya minta kerjasama semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN dalam tempoh satu atau dua hari untuk mendengar sendiri perkembangan mutakhir,” katanya.
Berita berkaitan
November 3, 2026, 10:41 pm
2,504 guru kanan hilang kelayakan elaun RM120, bayaran dihentikan mulai bulan ini - KPM
November 3, 2026, 10:20 pm
‘Terima kasih Mahsuri, tanpa biasiswa mungkin perlu bayar RM60,000’ – Penerima tajaan ChefMuda 2026
November 3, 2026, 8:12 pm
Tiada pemain JDT disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya menentang China, Yemen
November 3, 2026, 8:06 pm
Lebih RM300,000 disalurkan bantu kebajikan, pendidikan masyarakat India di Bagan Datuk
November 3, 2026, 8:03 pm
JAIS cari pemilik premis simpanan 6.5 tan ayam disembelih secara elektrik di Puchong
November 3, 2026, 7:59 pm
Projek jalan luar bandar Sabah, Sarawak tidak dibatalkan, hanya ditangguhkan
November 3, 2026, 7:42 pm
'Kalau rakyat tak bagi Rohingya sewa, insya-ALLAH dapat jaga keharmonian' - Exco Kelantan
November 3, 2026, 7:36 pm
