TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Terima kasih Mahsuri, tanpa biasiswa mungkin perlu bayar RM60,000’ – Penerima tajaan ChefMuda 2026

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Kos pengajian kulinari di institusi swasta yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit bukan lagi penghalang kepada 10 anak muda yang terpilih menerima tajaan biasiswa menerusi Program ChefMuda Mahsuri 2026.

Kesemua penerima diraikan dalam Majlis Penyerahan Tajaan Biasiswa Program ChefMuda Mahsuri 2026 yang berlangsung semalam, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan latihan profesional dan membina kerjaya dalam industri kulinari serta hospitaliti.

Inisiatif Mahsuri itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan keluarga, malah menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang masakan.

Bagi Nurqaseh Nazri, 18, dari Batang Kali, Selangor, peluang menerima tajaan berkenaan amat bermakna kerana kos pengajian kulinari di universiti swasta boleh mencecah antara RM50,000 hingga RM60,000.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, tanpa bantuan biasiswa, dia mungkin perlu mempertimbangkan kos yang tinggi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang diminatinya.

“Kalau tiada biasiswa, mungkin saya kena bayar RM50,000 hingga RM60,000 untuk belajar di universiti swasta.

“Jadi peluang ini memang sangat membantu kerana saya boleh belajar dalam bidang yang saya minat tanpa perlu memikirkan kos pengajian yang begitu tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Menariknya, Nurqaseh mengakui bidang kulinari bukanlah pilihan kerjaya asalnya kerana sebelum ini dia bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, dorongan ibu bapa untuk mencuba bidang pastri akhirnya membuka minat baharu, lebih-lebih lagi apabila dia mula melibatkan diri dalam aktiviti memasak bersama keluarga.

Menurutnya, bapanya mengusahakan tiga buah kafe di Kuantan, Pahang, manakala abangnya turut berkecimpung dalam industri hospitaliti.

“Sebelum ini saya sebenarnya mahu menjadi guru Bahasa Inggeris dan tidak pernah terfikir untuk masuk bidang kulinari.

“Tetapi ibu bapa menggalakkan saya mencuba bidang pastri. Apabila saya mula masuk ke dapur dan mencuba sendiri, saya nampak yang saya sebenarnya berminat,” katanya.

Nurqaseh berkata, dia juga gemar menonton video masakan cef selebriti, Chef Jo, selain mempunyai resipi kek mentega atau butter cake warisan keluarga yang menjadi antara pendorong minatnya terhadap dunia pastri.

Katanya, selepas mula serius untuk mendalami bidang berkenaan, seorang rakan yang sedang mengikuti pengajian kulinari memperkenalkan kursus tersebut kepadanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima tajaan, Syasya Nabilah Mohd Nasri, 18, dari Bangsar, menyifatkan inisiatif Mahsuri sebagai peluang berharga untuk merealisasikan impiannya menjadi cef profesional.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia mengetahui mengenai Program ChefMuda Mahsuri selepas melihat iklan di YouTube dan TikTok sebelum mengambil inisiatif membuat permohonan sendiri di Food Institute of Malaysia (FIM).

Menurutnya, minat memasak sudah dipupuk sejak di rumah apabila dia sering membantu menyediakan makanan untuk keluarga.

Malah, pengalaman bekerja secara sambilan dalam sektor makanan dan minuman (F&B), termasuk di hotel, memberinya pendedahan awal mengenai cabaran sebenar industri berkenaan.

“Saya memang minat memasak dan selalu membantu di rumah. Selepas nampak iklan program ini di YouTube dan TikTok, saya terus berminat dan membuat permohonan sendiri di FIM.

“Sebelum ini saya pernah bekerja sambilan di hotel, jadi saya tahu bidang makanan dan minuman ini ada cabarannya. Tetapi saya mahu mencabar diri sendiri kerana impian saya adalah untuk menjadi cef profesional,” katanya.

Syasya yang baru menamatkan persekolahan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut menzahirkan penghargaan kepada Mahsuri kerana menyediakan peluang pendidikan kepada golongan muda sepertinya.

“Saya sangat berterima kasih kepada Mahsuri kerana memberi peluang ini. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Bagi Anisah Zulaikha Darlin, 19, dari Sepang pula, tajaan bagi mengikuti pengajian Sijil Masakan Melayu menjadi langkah penting untuk mengembangkan minatnya dalam bidang kulinari secara lebih profesional.

Anisah yang sebelum ini mengikuti pengajian asasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, minat terhadap dunia masakan semakin mendalam selepas sering melihat abangnya yang bekerja sebagai cef persendirian menyediakan pelbagai hidangan.

Menurutnya, cadangan daripada bapanya turut menguatkan keyakinan untuk memilih bidang kulinari sebagai laluan kerjaya.

“Saya memang minat bidang kulinari dan ayah juga yang mencadangkan supaya saya mencuba bidang ini.

“Saya banyak melihat abang memasak kerana dia bekerja sebagai cef persendirian. Dari situ, saya semakin berminat untuk belajar memasak dengan lebih mendalam,” katanya.

Anisah berkata, dia memulakan pendaftaran pengajian pada 9 Oktober lalu dan akan mengikuti latihan selama empat bulan sebelum menjalani latihan industri selama tiga bulan.

Sepanjang tempoh berkenaan, dia akan mempelajari aspek teori hospitaliti dan kulinari selain memperoleh pengalaman praktikal sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.

Anisah yang gemar menyediakan hidangan ayam mentega atau buttermilk chicken berharap ilmu dan pengalaman diperoleh menerusi program itu dapat membantunya membina kerjaya sebagai cef pada masa depan.

Kisah ketiga-tiga penerima berkenaan antara contoh bagaimana tajaan pendidikan oleh sektor korporat mampu membuka peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan bakat dan kemahiran tanpa dibebani kos pengajian yang tinggi.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, Program ChefMuda Mahsuri yang dilaksanakan dengan kerjasama FIM sejak Julai 2023 berjaya memberi manfaat kepada 35 anak muda daripada golongan B40.

Ia termasuk 10 penerima tajaan tahun ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam membuka peluang pendidikan dan kerjaya kepada golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, penerima tajaan akan mengikuti Program Sijil Hidangan Tradisional Malaysia selama tujuh bulan, merangkumi empat bulan latihan intensif di FIM dan tiga bulan latihan industri, termasuk peluang menjalani latihan di Courtyard by Marriott Setia Alam.

Inisiatif itu bukan sahaja bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang kulinari, malah memperkukuh usaha Mahsuri memperkenalkan keunikan makanan halal tradisional Malaysia ke peringkat antarabangsa. - Media Telus

+ - reset